#TUN M~Tidak sesen pun wang PRU masuk akaun saya

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan bahawa tiada sesen pun wang derma untuk pilihan raya umum yang masuk ke akaun peribadinya sepanjang pemerintahannya sebelum ini.

Bagi mengesahkan pengakuannya itu, beliau bersedia memberi laluan kepada mana-mana pihak yang tidak berkepentingan untuk memeriksa akaunnya peribadinya itu.

“Dalam usaha menghalalkan tuduhan terhadap Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana memasukkan dalam akaun peribadinya wang sebanyak RM2.6 bilion yang kononnya adalah untuk Pilihan Raya ke-14 (PRU14), saya dituduh berbuat perkara yang sama. Tuduhan ini tidak berasas, semata-mata fitnah.

“Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihan raya yang dimasukkan ke dalam akaun saya. Saya sedia semua akaun peribadi saya selama 22 tahun diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuan saya ini atau sebaliknya,” katanya melalui catatan terbaharu di blognya http://chedet.cc/ yang berjudul ‘Akaun Peribadi’, hari ini.

Menurutnya, semasa memegang jawatan presiden Umno, semua wang derma terutama semasa pilihan raya dimasukkan ke dalam akaun pemegang amanah yang dipegang oleh tiga orang termasuk beliau.

“Pemegang amanah ini juga dinamakan sebagai pemilik saham-saham dan hartanah milik Umno. Di waktu saya jadi Presiden Umno, ibu pejabat mempunyai tiga pemegang amanah. Saya adalah antara pemegang amanah ini. Pemegang amanah memiliki akaun dalam bank. Semua derma, terutama semasa pilihanraya dimasukkan dalam akaun ini. Dua dari mana-mana tiga pemegang amanah diberi kuasa untuk mengurus akaun Ibu Pejabat dan menandatangani cek apabila mengeluarkan wang.

“Sewaktu saya letak jawatan sebagai presiden Umno, saya telah arah wang tunai dalam bank dan saham-saham serta surat milik hartanah diserah kepada Datuk Abdullah Badawi (Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi). Pegawai yang menyerah ialah Nor Mohamad Yacob dan Noordin Bachik. Jumlah wang tunai yang diserah melebihi RM200 juta. Jumlah nilai saham dan hartanah melebihi RM1.2 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, mengimbau detik penyingkirannya dan penemuan cek ‘stub’ yang dikeluarkannya yang menyebabkan beliau perlu membayar denda RM300,000.

“Ketika saya disingkir dari parti pada 1970, Jabatan Hasil Dalam Negeri telah geledah rumah dan klinik saya. Mereka jumpa cek ‘stub’ yang telah dikeluarkan oleh saya dan mereka mendakwa bahawa saya tidak lapor pendapatan saya sepenuhnya. Mereka denda saya sebanyak RM300,000 dengan amaran jika saya bantah dan pergi ke mahkamah saya akan dikenakan denda tiga kali ganda.

“ Saya tidak pergi ke mahkamah. Sebaliknya saya merayu bahawa duit yang dimasukkan dalam akaun saya ialah dari parti. Tetapi Ibu Pejabat Umno tidak mengaku wang itu dari Umno. Akhirnya saya dikenakan denda sebanyak RM130,000,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mempertikaikan sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah bertindak atas wang yang berada dalam akaun Najib itu.

“ Saya tidak ingin sentuh 1MDB walaupun saya sebagai rakyat yang membayar cukai berhak untuk menyoal kewangan negara. Tetapi seperti yang saya jelaskan saya terpaksa bayar cukai pendapatan dan denda ke atas wang yang terdapat dalam akaun saya.

“Soal yang saya ingin tanya ialah apakah LHDN telah bertindak dengan kuasa yang diberi kepadanya ke atas wang sebanyak RM2.6 billion yang terdapat dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib?,” katanya.

Malah katanya, jika wang itu didakwa untuk pilihan raya, ia tetap melanggar peraturan dan undang-undang pilihan raya kerana akaun perbelanjaan pilihanraya setiap calon perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan menyalahi peraturan jika ia melebihi jumlah tertentu.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: