#BAI'AH~Cari dalil nak halal kesalahan atau panduan?

1. ISU Bai'ah Pas sedang digembar-gemburkan oleh pihak yang berkait dengan jawatan parti yang dipegang sewaktu berada dalam Pas.

2. Tanyalah kepada diri sendiri, apakah sebabnya aku memilih menjadi ahli Pas dahulu? Apakah tujuannya aku menjadi ahli Pas? Apakah perkara yang mendorong aku menjadi ahli Pas?

3. Jawapannya kita ahli semuanya tahu bahawa keberadaan kita dalam Pas dan kita fahaminya daripada ilmu yang disampaikan oleh para alim ulama kita dan daripada amalan seluruh jemaah Islam di serata dunia bahawa ia adalah tuntutan agama.

4. Lihatlah dalil-dalil dalam al-Quran yang sering kita baca dan ungkapkan yang menjadikan hujjah sumber kekuatan kita pada masa kita menjadi ahli jamaah Pas ini seperti berikut :
Surah Ali Imran 104: "..Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam)..."

Surah Al Maidah 54: "..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; ..."

Surah an Nisa' ayat 74: "..Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, .."

Surah an Nisa' ayat 95: "...Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. .."

Surah at Tawbah ayat 38: "..Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan ALLAH", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? ..."

5. Semua dalil ayat al-Quran di atas adalah pegangan kita dengan pemahaman yang jelas hukumnya sewaktu mendaftar diri kita dengan jemaah ini.

6. Bermakna bahawa pilihan kita sendiri untuk berada dalam jemaah Pas adalah disebabkan tuntutan kewajiban agama dan hukum Islam itu sendiri yang meletakkan kita berada dalam perjuangan Islam.

7. Kita memahami bahawa adalah dihukum wajib ke atas individu Muslim dan orang beriman bersama dengan jemaah Islam untuk memperjuangkan Islam.

8. Apatah lagi setelah kita mengikat diri dengan dengan bai'ah dalam jemaah ini iaitu kita tidak akan lari dari keberadaan kita bersama jemaah sama ada sewaktu kita memegang jawatan atau diberikan kedudukan atau amanah tertentu untuk dipikul sebagai hak jemaah agar kita senantiasa istiqamah dan tidak mudah tergelincir kerana diingatkan akan bai'ah mengikat kita.

9. Kita sebagai orang beriman setiap hari berbai'ah dengan Islam dan ALLAH SWT sewaktu kita melafazkan kalimah syahadah dalam tahiyyat solat, takbiratul ihram dan juga sewaktu kita menjawab laungan azan. Semua ucapan yang kita lafazkan pada masa itu adalah bai'ah kita dengan ALLAH SWT. dan dengan Islam yang kita dokongi dan anuti. Berulang-ulang kali dimestikan lafaz oleh kita adalah sebagai ingatan langsung kita dengan Islam dan aqidahnya.

10. Mereka yang hendak keluar daripada jemaah ini jangan pula melihat dan mencari dalil-dalil untuk menghalalkan tindakan mereka dan melupakan terus dalil-dalil yang meletakkan kewajiban ke atas mereka satu ketika dulu bersama jemaah Islam khasnya Pas.

11. Bai'ah dengan Islam dan perjuangannya adalah fitrah dalam proses mempastikan komitmen dan istiqamah kesetiaan sebagaimana juga dibuat AKU JANJI apabila bekerja dengan Jabatan Kerajaan dan Swasta. Walaupun ianya berbeza pada hukum dan istilahnya tetapi itulah kemestian kepada kita semua mengikat diri dengan sesuatu sebagai simbolik kesetiaan dan keluhuran budi dengan organisasi lebih-lebih lagi dengan jemaah Islam yang memperjuangkan Islam atas sebab hukum Islam yang mewajibkan ke atas kita.

12. Jangan pula apabila diri ingin melepaskan daripada masalah yang diciptakannya sendiri, pandai pula berdalih di sebalik al-Quran dan Hadis untuk menghalalkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan mereka.

13. Inilah kaedah Liberalisme iaitu menjadikan al-Quran untuk dihalalkan tindakannya atau mengikut kehendak dan perbuatannya sebaliknya bukannya dijadikan al-Quran sebagai ikutannya.

Moga ALLAH memberi hidayah sebenar kepada mereka yang terkeliru atau membalas kejahatan atas kesombongan dan keangkuhan mereka.

Beristiqamah sehingga kemenangan

MUHAMMAD NAJHAN HALIM
Setiausaha
Dewan Ulama Pas Selangor
* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Blog Sensasi.

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: