#Daftar syarikat: Peniaga Online beri reaksi pro dan kontra

SHAH ALAM - Susulan gesaan kerajaan yang meminta peniaga atas talian (online) untuk mendaftarkan perniagaan masing-masing di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pelbagai reaksi dan pendapat diterima daripada peniaga online.

Ada yang bersetuju dan menggalakkan peniaga lain untuk turut sama mendaftarkan perniagaan di SSM, tidak kurang juga yang merungut apabila disuruh mendaftar.

Seorang peniaga online yang menjalankan perniagaan menggunakan nama Ika Suzana di akaun Facebooknya berkata, lebih wajar sekiranya peniaga online mengambil langkah untuk mendaftarkan perniagaan masing-masing.

Ini kerana langkah tersebut boleh mengelakkan pengguna ditipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Untuk memperoleh kepercayaan daripada pelanggan, seeloknya kita mendaftar. Kalau ada apa-apa penipuan atau kita dituduh menipu pelanggan, mudah bagi pihak kita untuk buat laporan dengan tribunal atau polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Syafikah Suzana Mohd Azmi atau lebih selesa dipanggil Ika juga mengaku sudah mendaftarkan perniagaannya dengan SSM.

“Yuran pendaftaran yang dikenakan tidak mahal mana. Pendaftaran memberikan kita jaminan dalam perniagaan, sekali gus membuatkan pelanggan percaya kepada kita dan tidak takut ditipu,” katanya lagi.

Jun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewajibkan peniaga dalam talian mendaftar perniagaan mereka bertujuan melindungi pembeli daripada sebarang penipuan selain meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap transaksi jual beli.

Seorang lagi peniaga online bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat tersebut.

Menurut Darwisya Sofea Muhammad Azinuddin, proses tersebut hanya akan merumitkan peniaga-peniaga online.

“Mendaftar tidak akan membuatkan perniagaan kita bertambah maju. Saya sudah meniaga selama tiga tahun dan perniagaan saya berkembang dengan baik meskipun tidak mendaftar sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Darwisya yang menjalankan perniagaan dengan menggunakan nama Pembekal Kosmetik Murah mengakui sudah mendaftarkan perniagaannya sejak dua bulan lalu.

“Kalau daftar, tiap-tiap tahun kita kena membaharui semula lesen SSM. Lepas itu, bila sudah daftar, kita kena buat penyata tahunan... Rumit sikit,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fatin Izzati Mohd Razi pula berpendapat, proses daftar perniagaan di SSM sepatutnya hanya diwajibkan kepada peniaga yang menguruskan perniagaan mereka sepenuh masa.

“Saya cuma pelajar. Saya jalankan perniagaan secara atas talian secara separuh masa. Maklumlah, cari duit lebih.

“Pada pendapat saya, peniaga seperti saya (peniaga online separuh masa) tidak perlu diwajibkan untuk mendaftar. Yang wajib sepatutnya hanya peniaga online sepenuh masa,” katanya.

Fatin bagaimanapun berkata, dia terpaksa mendaftarkan perniagaannya kerana syarat yang ditetapkan.

“Sejujurnya saya tidak tahu banyak mengena SSM, yang saya tahu kalau mahu berniaga, perlu ada nombor pendaftaran perniagaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menurut Siti Farah Abd Rahman, proses pendaftaran perniagaan dengan SSM tidak memerlukan langkah yang rumit.

“Nak daftar SSM tidak susah, hanya bawa salinan kad pengenalan. Kalau rasa mahu berniaga untuk jangka masa panjang, perlu daftar.

“Apa-apa pun orang akan rujuk SSM. Sebagai contoh, saya cakap pada pelanggan yang saya sudah 10 tahun meniaga, tetapi tidak ada bukti, ia akhirnya akan menyebabkan kita kehilangan pelanggan,” katanya.

SSM mewajibkan mana-mana peniaga online yang melakukan urus niaga di Facebook, Mudah.my, website, blogspot dan mana-mana medium pengiklanan online untuk mendaftarkan perniagaan masing-masing.

Kegagalan untuk mendaftarkan perniagaan boleh menjadi satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: