#Mufti: Hukum tawaf guna Segway harus

Segway

SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri menjawab persoalan mengenai penggunaan alat moden seperti Segway atau hoverboard.

Memetik posting di Facebooknya hari ini, Dr. Zulkifli menyebut, hadis Jabir R.A yang bermaksud: "Nabi SAW telah tawaf di atas tunggangan di Kaabah, sa’i di antara Safa dan Marwah, orang ramai melihatnya dan Baginda dapat menyelia untuk mereka bertanya kepada Baginda, maka sesungguhnya orang ramai mengerumuni Baginda.

"Berdasarkan nas-nas, jelas menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan (pada waktu itu), tetapi antara sebabnya ialah kerana untuk membimbing orang ramai, kerana untuk orang ramai dapat mengikuti dan mempelajari dan kerana uzur atau sakit.

"Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus," jelasnya.

Beliau memberi penjelasan selepas sebuah rakaman video yang menunjukkan jemaah melakukan tawaf menggunakan bantuan alat moden telah menimbulkan persoalan di kalangan orang Islam yang lain.

[ARTIKEL BERKAITAN: #VIRAL~Tawaf guna teknologi terkini cetus kontroversi]

Dr. Zulkifli juga menjelaskan tiga pendapat ulama yang berbeza berhubung isu seperti ini

"Pendapat pertama, sebahagian ulama’ seperti Al-Khiraqi mengatakan bahawa hukum tawaf menggunakan kenderaan atau dibawa tanpa uzur adalah tidak memadai. Ini juga merupakan satu pendapat dalam riwayat Ahmad dan alasannya kerana Nabi SAW bersabda dan bermaksud; Melakukan tawaf di Kaabah adalah solat.

"Oleh kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan dengan Kaabah maka tidak harus dilakukannya dengan menaiki kenderaan tanpa uzur seperti solat," kata beliau.

"Pendapat kedua, yang masyhur adalah memadai dan dikenakan dam dan ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah kecuali Abu Hanifah menambah sekiranya seseorang itu masih berada di Makkah perlu diulang tawafnya itu dan sekiranya sudah pulang, maka hendaklah membayar dam.

"Pendapat ketiga, hukumnya adalah memadai dan tidak dikenakan dam. Ini ialah pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir. Mereka beralasan dengan mengatakan Nabi SAW telah tawaf dalam keadaan menunggang," jelasnya lagi.

Beliau berkata, setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, pendapat ketiga selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang jelas.

Namun begitu, terdapat beberapa kriteria perlu difahami berkenaan penggunaan teknologi moden semasa tawaf.

"Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin, penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal, jauhi dari riya’, ‘ujub dan niat bermegah ketika menggunakannya dan jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka.

"Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih baik dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat," jelas beliau lagi.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: