#POLITIK~ Singkir Muhyiddin Akan Menyebabkan UMNO Berpecah - Prof Samsu Adabi

SHAH ALAM - Tindakan untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa kepada perpecahan parti itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (gambar) berkata, Muhyiddin mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti.

“Ketua bahagian Umno harus menangani dengan baik sekiranya berhasrat untuk singkirkan Muhyiddin. Ini kerana Muhyiddin bukan sahaja mempunyai pengaruh dalam Umno malah turut membawa sentimen Johor.

“Ini akan menyebabkan perpecahan dalaman yang teruk dalam Umno selain akan merumitkan lagi keadaan Umno yang dilihat semakin parah,” katanya, semalam.

Usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin semakin rancak diperkatakan ekoran Timbalan Presiden Umno itu semakin lantang bersuara membidas tindakan Najib.

Terbaru, terdapat khabar angin mengatakan beberapa ketua bahagian Umno sedang melakukan perancangan bagi menyingkirkan Muhyiddin.

Menurut Dr Samsu lagi, adalah lebih baik sebarang usaha untuk singkirkan Muhyiddin tidak dilakukan dan menunggu sehingga pemilihan Umno akan datang.

“Penyingkiran Muhyiddin adalah perkara yang perlu dielakkan. Seeloknya perkara ini diselesaikan secara baik dengan Muhyiddin. Mungkin Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh bersemuka dengan Muhyiddin.

“Saya percaya ahli Umno juga tidak mahu melihat perpecahan yang lebih teruk dalam parti,” katanya.

Namun, beliau berkata, berdasarkan perlembagaan parti, penyingkiran Muhyiddin boleh berlaku sekiranya jawatankuasa tata tertib menerima laporan daripada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian.

“Namun laporan itu perlu berdasarkan kesalahan kukuh yang telah dilakukan Muhyiddin. Mungkin juga sehingga memberikan kesan teruk kepada parti.

“Dan terpulang kepada jawatankuasa untuk menjatuhkan bentuk hukuman,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: