#INFO AUTO~Porsche 'tawan' Langkawi

TIGA model Porsche yang menarik.

Sepanjang menjadi wartawan permotoran, inilah kali pertama penulis berpeluang memandu uji semua barisan keluarga kenderaan Porsche yang diadakan di Langkawi baru-baru ini.

Program yang dinamakan ‘Driving Dreams with Porsche’ sebenarnya memberi 1,001 pengalaman pahit dan manis kepada penulis ketika acara itu diadakan ketika negara ini dilanda bencana jerebu.

Biarpun pelbagai dugaan ditempuhi sekumpulan media tempatan untuk ‘keluar’ dari pulau itu sebenarnya cukup mencabar apabila jadual penerbangan terpaksa ditunda dalam tempoh lama berikutan keadaan jerebu teruk.


Namun, ia sebenarnya memberi satu nostalgia buat media tempatan apabila terpaksa menaiki feri untuk keluar dari pulau berkenaan sebelum menyewa kereta untuk pulang ke Kuala Lumpur sekali gus menjadi peristiwa tidak boleh dilupakan sepanjang mengikuti acara berkenaan.

Biarpun dalam keadaan jerebu, memandu kereta berprestasi mewah buatan Jerman itu boleh dikatakan sebagai pengubat untuk membuang segala peristiwa pahit yang dilalui.
PORSCHE Panamera.

Porsche Panamera S
Jentera ini adalah pertama dalam sesi pandu uji dan menjadi kenderaan impian penulis sekiranya mampu memiliknya.

Biarpun ia sebuah kenderaan mewah dengan memiliki bentuk yang panjang dan lebar, pemanduan sebenarnya tidaklah sukar serta cukup mudah seperti memandu kereta sedan biasa.

Pengendalian kereta ini mengingatkan bahawa ia menawarkan pemanduan yang sporty dan menyeronokkan.
Dibekalkan pacuan roda belakang yang digabungkan enjin 2,997 cc, memberi tenaga yang unik sebaik kaki menekan padal minyak secara agresif.

Berat serta dimensi yang besar itu sebenarnya tidak mampu menghalang jentera ini memecut laju apabila rangkaian kuasanya menyalurkan 420 hp dengan tork setinggi 520 Nm.

Apa yang menarik, Porsche Panamera S dikatakan mampu memecut sehingga 287 kilometer sejam (km/j) yang mana hanya mencatatkan 5.1 saat untuk pecutan antara 0-100km/j dengan menggunakan mod Sport Plus.

Jentera yang hanya mempunyai tempat duduk 2+2 ini turut mempunyai ruang but luas sehingga 445 liter dengan kapasiti bahan api mencecah 80 liter.
MENARIK bagi model SUV Porsche Cayenne (kanan) dengan Porsche Panamera S E-Hybrid.

Porsche Cayenne S E-Hybrid
Jentera ini berada dalam kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah yang pertama kali dilancarkan pada peringkat global pada Julai 2014.

Bentuk Porsche Cayenne S E-Hybrid masih lagi menerapkan rekaan generasi kedua tetapi rangkaian kuasanya digabungkan dengan teknologi hibrid.

Ramai yang menganggap jentera hibrid lembap atau tidak ‘power’, tetapi ia sebenarnya salah. Ini kerana Porsche Cayenne S E-Hybrid tidak teragak-agak memberi pecutan lebih baik dengan torknya yang tinggi mencecah 580 Nm.

Malah, enjin bersesaran 2,995 cc itu turut menyalurkan 416 hp sekira­nya kuasa itu digabungkan dengan motor elektrik.

Kelajuannya pula boleh mencecah 243km/j dengan hanya mengambil 5.9 saat untuk pecutan antara 0-100km/j.

Cuma, mungkin tidak sesuai untuk memandu jentera ini secara agresif sekiranya pemiliknya mementingkan penjimatan bahan api.

Sepanjang pemanduan dengan Porsche Cayenne S E-Hybrid, penulis tidak mengerah sepenuh tenaganya cuma lebih selesa dalam pemanduan santai.
LANGKAWI meriah dengan model Porsche.

Porsche 911 Carrera GTS Cabriolet
Porsche 911 Carrera GTS Cabriolet menghasilkan kuasa maksimum sehingga 430 kuasa kuda yang memberi karakter terbaik dalam pengendalian dan prestasinya.

Penulis cukup teruja memandu jentera ini dengan digabungkan pakej Sport Chrono dan sistem peredam aktif yang boleh mengurangkan ketinggian kereta sehingga 10 milimeter (mm).

Keistimewaannya terserlah apabila menggunakan transmisi Porsche Doppelkupplung (PDK) yang mana kenderaan itu boleh dipandu melebihi 300km/j dan hanya mengambil empat saat untuk memecut dari tahap pegun sehingga 100km/j.

Biarpun jentera berprestasi tinggi, tahap penggunaan minyaknya masih kekal seolah-olah seperti model Porsche 911 Carrera S sebelum ini.

Sebagai ciri standard, ia dipadankan perumah lampu depan bi-xenon dengan Sistem Lampu Dinamik Porsche (PDLS), selain menggunakan ekzos sporty untuk menghasilkan bunyi garang.

Bagi memberi impak penampilannya, jentera berkenaan dipadankan dengan rim 20 inci warna hitam untuk tampak lebih eksklusif.

Di ruang dalamannya pula, tempat duduk pemandu dan penumpang dibaluti material Alcantara dan ia menyamai model Porsche GTS yang lain.
PORSCHE Boxster GTS.

Porsche Boxster GTS
Jentera ini sebenarnya bukan Porsche Boxster apabila logo GTS yang bermaksud Gran Turismo Sport (GTS) itu dibangunkan bagi memuaskan hati peminat kereta sport dengan menawarkan pakej pemanduan di litar atau kegunaan biasa.

Keunikan model Porsche Boxster GTS ialah prestasinya yang cukup mantap dalam rangkaian produk dari Stuttgart, Jerman itu.

Biarpun pandu uji boleh dikatakan secara santai di sekitar Langkawi, ia memberi satu perasaan mengujakan bagi peminat kereta sport premium.

Sebaik enjin dihidupkan, bunyi kasar yang keluar dari ekzosnya cukup membuatkan penulis rasa tidak sabar untuk memandunya.

Tempat duduk bucket membuatkan badan penulis seperti dipeluk dan dikatakan mampu memberi keseimbangan yang terbaik sekiranya melayan selekoh pada kelajuan tinggi.

Sepanjang pemanduan, penulis hanya menggunakan mod Sport Plus kerana sistem enjin dan transmisi ditala supaya lebih agresif dengan menyalurkan prestasi maksimum.

Satu lagi ciri unik pada jentera itu adalah sistem ekzos sport. Selepas menekan butang sistem itu di bahagian konsol tengahnya, ekzosnya menyalurkan bunyi garang daripada peredam berkembarnya.

Enjin enam silinder rata yang berada di tengah kenderaan itu menggunakan rangkaian kuasa berkapasiti 3.4 liter yang diwarisi daripada Boxster S, ia sebenarnya ditala semula untuk menjana lebih 15 kuasa kuda (hp) dengan mencapai 430 hp.

Penampilannya pula, ia agak berbeza dan mudah untuk mengenalnya kerana corong udara di bahagian hadapan lebih besar serta padanan spoiler.[myMetro]


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: