#MARI MELANCONG~Rahsia Secret Garden Di Gua Kelam Perlis

SECRET Garden tempatkan pelbagai spesies bunga eksotik.

Deruan air yang mengalir deras bagaikan tenggelam dengan bunyi kicauan burung yang merdu setiba di pintu keluar gua. Pandangan mata yang sedari tadi malap di dalam gua terasa silau dek sinaran matahari yang memancar dari celahan pokok.

‘Secret Garden’. Itulah nama kawasan kaki berpijak saat itu. Kehijauan alam semula jadinya yang tidak terusik mencetuskan suasana damai dan tenang di taman rahsia itu.

Terpesona dengan keindahan di situ, sesi bergambar kenangan bersama rakan tidak boleh dilepaskan.

Itulah yang dirasai penulis ketika berkunjung ke Taman Rekreasi Gua Kelam 1 bersama rakan media dan penggiat industri pelancongan menerusi Program Lawatan Suai Kenal Perlis ‘Dekat Je’, baru-baru ini.

Menjadi lokasi pertama dikunjungi pada hari kedua program, Gua Kelam, kira-kira 36 kilometer (km) di utara Kangar adalah antara gua batu kapur tertua di Malaysia, iaitu sepanjang 370 meter.
KEUNIKAN Gua Kelam sudah tergambar menerusi pintu masuknya.

Juga dikenali sebagai ‘Cave of Darkness’, gua ini dulu­nya terkenal dengan lombong bijih besi selain menjadi laluan penduduk Wang Kelian dengan Kaki Bukit.

Satu-satunya laluan untuk ke gua itu ialah melalui jambatan gantung yang diperbuat daripada kayu selebar lapan kaki.

Gua Kelam juga dikenali sebagai laluan di dalam gua kerana jambatan ini menghubungkan Kaki Bukit ke Lembah Wan Tangga di penghujungnya.

Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris mendapati laluan air di dalam gua itu boleh digunakan untuk memindahkan bijih besi dari lombong berhampiran ke Kaki Bukit.

Deruan air sungai yang mengalir deras bermula dari kaunter masuk kini memberi suasana berbeza. Mana tidaknya, kali pertama dan terakhir penulis mengunjungi Gua Kelam ialah pada tahun 2007.

Ketika itu, penulis memasuki Gua Kelam 2 dengan menaiki kereta api. Jadi, penulis sudah membayangkan apa yang bakal dilihat dan dirasai di Gua Kelam.

Namun, segala gambaran itu meleset kerana Gua Kelam sebenarnya merangkumi dua gua iaitu Gua Kelam 1 dan Gua Kelam 2.

Melangkah terus ke perut gua, deruan air sungai yang deras bagaikan mengalunkan muzik menyambut kedatangan pengunjung dan menceritakan keunikan Gua Kelam.

Laluan ini disinari cahaya lampu dan di sepanjang perjalanan masih kelihatan kesan tapak aktiviti pemindahan bijih besi di dalam gua.

Selain melihat formasi, stalaktit serta stalagmit yang pelbagai rupa termasuk yang berbentuk kolam air terjun bertingkat, meneroka ke dalam Gua Kelam 1 mencetuskan suasana berbeza.

Mana tidaknya, gua yang pernah penulis terokai sebelum ini kebanyakannya sunyi dan hanya kedengaran bunyi angin dan kelawar yang menjadi penghuninya.

Namun, Gua Kelam 1 pula lebih riuh dengan deruan air yang mengalir laju. Titisan air dari stalaktit kedengar­an bagaikan konsert semula jadi.
TITISAN air daripada stalaktit kedengaran seperti sebuah konsert semula jadi.

Pengakhiran penerokaan di dalam gua antara yang dinanti-nantikan peneroka selain melihat stalaktit dan stalagmit. Itu jugalah yang penulis nantikan.

Seperti Gua Sanding di Jerantut, Pahang, kawasan luas yang dipenuhi batuan membentuk formasi seperti pasangan pengantin sedang bersanding dengan cahaya matahari memancar dari lubang gua pada pengakhirnya.

Gua Keris di Kompleks Batu Kapur Gua Ikan, Dabong, Kelantan, pula terkenal dengan keunikan bong­kah batu berbentuk sebilah keris terpacak.

Bagaimanapun, di Gua Kelam 1 ‘taman rahsia’ de­ngan landskap menarik dan sesuai untuk aktiviti riadah atau berkelah menjadi peng­akhirnya. Ia bagaikan anugerah kepada pengunjung selepas meneroka gua.

Dibuka kepada orang ramai pada 2014, Secret Garden dibina untuk mewujudkan landskap pokok eksotik dan tempatan.

Bunga-bungaan daripada 35 spesies pokok eksotik termasuk pokok tempatan yang ditanam di sekelilingnya menjadikan ‘taman rahsia’ ini cukup mempesona.

Di Secret Garden, selain landskap bunga eksotik, antara tarikan lain ialah tangga yang menghubungkan pintu keluar gua dengan menara pandang dan sungai yang mengalir ke dalam gua.

Dipenuhi dengan pokok menghijau, tempat istirahat yang disediakan memberi kemudahan kepada pengunjung untuk berehat seketika sambil menghirup udara segar sebelum kembali ke perut gua dan keluar dari kawasan itu.

Di sini juga, pengunjung boleh berkhemah di tapak yang disediakan dengan bayaran hanya RM1 seorang semalam.
LALUAN di dalam gua yang kukuh.

Namun, untuk aktiviti ini, pengunjung perlu membuat permohonan kepada Jabatan Perhutanan Perlis terlebih dahulu.

Usai meneroka ‘taman rahsia’ yang mengagumkan ini, dengan berat hati kami terpaksa meninggalkannya kerana kesuntukan masa. Sekali lagi kami masuk ke perut gua dan keluar di kaunter masuk Gua Kelam 1.

Selain boleh diakses melalui kaunter masuk Gua Kelam 1, Secret Garden juga boleh dimasuk dengan laluan berjalan kaki bertangga sepanjang satu kilometer dari Gua Kelam 2.[HMetro]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: