#INSIDEN KOTA RAYA~'Kami peniaga jujur pun turut terkesan'

Notis pindah yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Kompleks Kota Raya kepada peniaga yang didakwa menipu pelanggan.

KUALA LUMPUR - Tinjauan mendapati, kira-kira separuh kedai telekomunikasi yang beroperasi di Kompleks Kota Raya menutup premis mereka semalam sejak insiden kekecohan dan pergaduhan tercetus Ahad lalu.

Pengawal keselamatan di kompleks tersebut yang enggan dikenali berkata, peniaga terlibat telah diberi notis oleh pihak pengurusan agar berpindah keluar dan tidak lagi menjalankan urusniaga di premis-premis mereka.

Kata pengawal keselamatan itu lagi, sejak insiden itu, notis juga telah ditampal sebagai makluman kepada pelanggan berkaitan penutupan perniagaan mereka di situ.

Rata-rata peniaga di sini meluah rasa kesal apabila turut menerima tempias akibat insiden berkenaan di mana mereka turut kehilangan ramai pelanggan berbanding sebelum kejadian tersebut.

Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Lai berkata, kehadiran orang ramai yang berkunjung ke kompleks berkenaan jelas berkurangan.

“Mungkin mereka (pembeli) takut untuk datang ke sini kerana sudah kecoh kes tipu pelanggan... jadi kami yang masih berniaga dan tidak buat hal pun turut terkena tempias. Keadaan ini tidak adil kepada kami kerana perniagaan sejak dua hari lalu banyak terjejas akibat kes (gaduh) itu,” katanya.

Seorang lagi peniaga alat telekomunikasi yang hanya ingin dikenali sebagai Nita turut bersetuju dengan kesan negatif yang dialami peniaga di kompleks berkenaan termasuk perniagaannya sendiri.

“Agaknya orang ramai takut nak masuk ke sini (Kota Raya) untuk beli telefon dan sebagainya... mungkin takut ditipu sebab kekecohan yang berlaku Ahad lepas.

“Tetapi kami yang masih berniaga dengan jujur dan tidak mengenakan harga menipu pelanggan pun terima tempiasnya... perniagaan memang menurun dalam dua hari ini, tak seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, kejadian berkenaan memang nyata meninggalkan rasa sangsi kepada orang ramai untuk berkunjung dan membeli alat telekomunikasi di Kompleks Kota Raya, tidak seperti sebelum ini di mana pusat komersial ini menjadi antara pilihan ramai.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: