#SENSASI~FIFA Haram Blatter Dan Platini Selama 8 Tahun

ZURICH – Presiden FIFA, Sepp Blatter dan ketua bola sepak Eropah (UEFA), Michel Platini diharamkan daripada semua kegiatan yang berkaitan dengan bola sepak selama lapan tahun oleh Jawatankuasa Etika FIFA.

Pengharaman yang diumumkan pada 21 Disember itu turut merangkumi kegiatan yang berkaitan dengan bola sepak, sama ada dalam bentuk pentadbiran atau sukan, di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebelum ini Blatter dan Platini sudah didenda serta digantung tugas selama 90 hari pada Oktober lalu semasa siasatan dijalankan ke atas kes penyelewengan bayaran FIFA bernilai AS$2.02 juta kepada Platini pada 2011.

Kedua-dua mereka bagaimanapun menafikan sebarang salah laku. Blatter warga Switzerland yang kini berusia 79 tahun itu juga didapati “menyalahgunakan kedudukannya sebagai Presiden FIFA”.

Dalam kenyataan media, jawatankuasa itu menyatakan “tindakan Blatter tidak menunjukkan komitmen terhadap sikap beretika, gagal mematuhi undang-undang dan peraturan serta rangka kerja kawalan FIFA”.


“Platini seorang rakyat Perancis; pula didapati telah gagal bertindak dengan penuh berwibawa dan tidak menyedari betapa besar dan berat tanggungjawab yang dipikulnya sebagai ketua UEFA.”

Blatter didenda AS$50,000 (RM214,800) manakala Platini didenda AS$80,000 (RM343,600). Keputusan cukup mengejutkan dunia bola sepak global itu terpaksa diambil selepas FIFA dibelenggu skandal rasuah terburuk.

Dengan ini, khidmat Blatter selama 17 tahun di FIFA berakhir dengan titik hitam dan hukuman ini juga dijangka menutup peluang Platini untuk bertanding sebagai antara calon presiden FIFA pada Februari tahun depan.

Di Amerika Syarikat, 27 pegawai dan bekas pegawai bola sepak termasuk lapan bekas anggota jawatankuasa eksekutif FIFA didapati bersalah atas tuduhan rasuah membabitkan penjualan hak penyiaran televisyen.

Seramai 12 orang dan dua buah syarikat pemasaran sukan terkenal di negara tersebut juga didapati bersalah atas pelbagai tuduhan rasuah berkaitan bola sepak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: