#SENSASI~Jika Presiden salah, anggota lain perlu tolong-Tun M

Dr Mahathir

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa masih ada pihak yang tidak faham isu yang dihadapi parti berkait masalah hubungan antara Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pihak ini melihat masalah orang nombor satu dengan nombor dua parti itu akan selesai dengan bersalam-salaman.

“Ini bukan masalah perhubungan atau persahabatan. Ini adalah isu salahlaku presiden yang boleh menyebabkan parti kalah dalam pilihan raya,” katanya melalui catatan di blognya, hari ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu, ramai perwakilan mendesak agar Najib dan Muhyiddin berbaik-baik semula demi parti dan Najib ketika selesai menggulung ucapannya dilihat mendekati Muhyiddin dan bersalaman sambil tersenyum kepada perwakilan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyentuh soal kandungan ucapan Najib yang membangkitkan tanggungjawab timbalan dan naib-naib presiden serta ahli kepada presiden parti.

“Bantuan yang disebut dalam perlembagaan sebagai peranan timbalan presiden dan naib presiden ditafsir semata-mata sebagai sokongan kepada Presiden. Sebenarnya bantu bermakna tolong. Dalam Bahasa Inggeris ia bermakna ‘assist’ atau ‘help’. ‘Assistance’ dan ‘help’ bermaksud memberi pendapat dan nasihat berkenaan dasar dan tindakan yang dicadang oleh Presiden.

“Jika presiden lemah, atau uzur maka timbalan presiden dan naib presiden perlu bantu. Jika Presiden salah, anggota lain perlu tolong betulkan,” katanya.

Namun katanya, presiden hanya mentafsir membantu itu sebagai menyokong di mana semua anggota parti di semua peringkat tidak perlu berfikir dan tidak perlu memberi apa-apa sumbangan.

“Tetapi apabila disuruh datang, datang. Disuruh pergi, pergi. Apabila Presiden suruh jahanamkan parti pun jahanamkan. Jangan soal, jangan tegur dan jangan bantah. Inilah dasar dan kehendak presiden parti.

“Jika tidak patuh kepada arahan Presiden atau menuding jari kepada kesalahan presiden maka tindakan diambil untuk menggantung atau menyingkir dari parti,” katanya.

Ucapan Najib dalam dalam perhimpunan Agung Umno juga disifatkan mengecewakan dan hanya tertumpu pada mempertahankan diri serta tidak menyentuh banyak isu yang melanda termasuk perjuangan parti dan kerajaan.

“Ekonomi negara yang merosot, kejatuhan nilai Ringgit dan kesannya terhadap kos sara hidup dan kos import tidak diulas dan tidak ada cadangan bagaimana menangani masalah-masalah ini.

“Masalah yang disebabkan oleh GST juga tidak disentuh, hanya bagaimana kewangan Kerajaan diselamatkan oleh cukai berat yang dibebankan ke atas rakyat ini. Dasar pelajaran dan penggunaan bahasa pengantar yang tidak menentu tidak diulas,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: