#TOKOH~Harun Mat Piah Pengkaji Manuskrip Negara

Harun Mat Piah

PADA saat ramai orang mengejar dunia ilmu sains dan teknologi, namun ada segolongan insan yang bertungkus lumus, berjuang untuk menyelamatkan khazanah Melayu daripada terus pupus. Antara personaliti yang signifikan dalam bidang tersebut dalam ruangan Kampus Legend kali ini ialah Dr Harun Mat Piah, 78.

Harun merupakan seorang daripada pakar dalam bidang sastera tradisional yang berjaya menzahirkan ilmunya dalam bentuk buku. Antara karya beliau ialah Cerita-Cerita Panji Melayu (1980), Puisi Melayu Tradisional – Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi (1989), Pantun Melayu Bingkisan Permata (Karya Agung, 2001), Kitab Tib – Ilmu Perubatan Melayu (2006), Artifak Budaya (2007) dan Kitab Tib 2515 PNM (karya bersama, 2014).

Menyentuh latar belakang diri, anak kelahiran Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak ini dibesarkan di Kampung Batu 17 Padang Rengas dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Padang Asam, Sekolah Melayu Padang Rengas, seterusnya ke Central Malay School Kuala Kangsar.

“Saya menjadi guru pelatih pada 1954 sebelum menyambung pengajian di Sultan Idris Training College (Universiti Pendidikan Sultan Idris). Selepas enam tahun menjadi guru, saya memasuki Maktab Perguruan Bahasa (Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu) 1963,” kata bekas Prinsipal Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris, Kuala Kubu Bharu ini.


Kepuasan gali ilmu

Perjalanan hidup Harun berlegar sebagai pendidik dan pelajar silih berganti apabila terus menggali ilmu di Universiti Malaya, School of Oriental and African Studies di London dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Linguistik, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) Kesusasteraan Melayu Klasik (Puisi Melayu Tradisional).

“Di UKM, saya menyambung pengajian sambil bekerja sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu. Pada 1982, saya merupakan graduan sulung program PhD UKM dari jabatan itu. Selepas bersara 1990, saya berkhidmat secara kontrak lapan tahun di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.

“Pada 2002, saya dilantik sebagai Mualim Tamu di PNM dan mengkaji dan menulis Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu.Kini saya sebagai Karyawan Tamu di DBP sedang mengusahakan empat naskhah, antaranya Kitab Tib(MS 119 DBP), Syair Hasan Masri, Kitab Hikayat 40 dan Kaba Sultan Usman Syarif (MSS PNM)” ujar beliau yang kini menumpukan kajian dalam ilmu perubatan tradisional, ilmu ramalan (astrologi) dan ilmu perkasihan (seksologi).

Jasa Harun membongkar khazanah ilmu tradisional Melayu mendapat pengiktirafan Tokoh Pengkaji Manuskrip oleh PNM sempena Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu 2014. Beliau yang digelar Ensiklopedia Bergerak kini mengkaji dan menulis dalam bidang sastera dan budaya Melayu tradisional bersama DBP, Yayasan Karyawan Malaysia, PNM, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim).

“Kepuasan saya dalam bidang kajian dan penyelidikan apabila dapat menyumbangkan sesuatu ilmu khususnya sastera dan tamadun bangsa, yang sangat sedikit diketahui umum,” ujar beliau yang juga terlibat dalam mengkaji dua Kitab Tib bersama Frim.

Pendedahan ilmu

Harun menyatakan Kitab Tib kini bukan sahaja dikaji sebagai korpus sastera, tetapi sudah sampai ke peringkat pengkajian saintifik dan profesional yang lain. Beliau merujuk kepada usaha penyelidikan di Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan yang mempunyai gagasan membina ilmu perubatan Melayu daripada khazanah manuskrip perubatan (Kitab Tib) Melayu.

Begitu juga pihak Frim dan institusi berkenaan turut menyumbang dalam memanfaatkan ilmu tradisional Melayu dalam projek penyelidikan dan penulisan.Fenomena ini merupakan perkembangan yang sangat menggalakkan.

“Kini terdapat sekitar 22,000 manuskrip Melayu dalam pelbagai koleksi di seluruh dunia. Di Malaysia, sekitar 10,000 naskah yang sebahagiannya disimpan dengan baik di PNM, DBP, Muzium Kesenian Islam dan di beberapa muzium negeri. Manakala kebanyakan manuskrip diketahui ada dalam simpanan peribadi, tidak terpelihara dengan baik dan akan pupus begitu sahaja.

Kajian dan penulisan juga agak sukar kerana sebahagian besar manuskrip Melayu tersimpan di universiti dan perpustakaan luar negara seperti di Leiden, Amrsterdam, St Pittsburgh (Jerman), United Kingdom, London (Cambridge, Oxford) dan Amerika Syarikat (Library of Congress)”

Harun mengakui dalam bidang kajian ini bukanlah untuk mengejar nama dan gelar. Sebaliknya, cabaran bagi kalangan pengkaji dan penyelidik, antaranya adalah kesukaran mendapatkan dana dan penganjur. Untuk menerbitkan sesuatu edisi kajian boleh mencecah RM150,000.

“Kebanyakan universiti memfokuskan sains dan teknologi. Universiti wajar menggalakkan pengkajian manuskrip dan bidang budaya yang boleh mengangkat maruah ilmu penulisan bangsa.

Kita sebenarnya bangsa bertamadun dan kaya dalam banyak aspek, cuma pengkaji perlu mendedahkan ilmu ini kepada masyarakat," katanya penuh bersemangat.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: