#REUNION~Skuad 1/90 Pulapol, Pulapah bertemu semula selepas 26 tahun

ZULKIFLI ALIAS (duduk, tengah) dan isteri serta sebahagian anggota Skuad 1/90 Pulapol dan Pulapah dalam majlis pertemuan semula di Ipoh, Perak, semalam. Mingguan/SYEFRY MONIZ

Seramai 150 anggota Skuad 1/90 konstabel Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan Pusat Latihan Polis Ayer Hitam (Pulapah) bertemu semula di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini sambil mengimbau nostalgia lama setelah berpisah 25 tahun lalu.

Pengerusi penganjurnya, Asis­ten Superintenden Azmi Mat Isa berkata, skuad tersebut yang terdiri daripada 1,303 anggota, mula menjalani latihan asas kepolisan pada 7 Januari 1990.

Beliau berkata, setelah tamat latihan, hampir 80 peratus anggota skuad tersebut diserapkan ke Kompeni Bebas (Kombas) atas dasar integrasi nasional termasuk Pasukan Polis Hutan (PPH) dan PGA di Sabah dan Sarawak sementara selebihnya ditempatkan dalam tugas am di seluruh negara.

“Pemilihan PGA Ulu Kinta disebabkan pusat ini juga merupakan salah satu tempat kami menerima latihan asas PPH selepas enam bulan berada di Pulapol. Biarpun ada yang tidak dapat datang kerana bertugas di sempadan, kita harap penganjuran majlis ini dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama kita.

“Walaupun kini ada yang telah menjawat jawatan pegawai kanan sehingga ke pangkat Deputi Superintenden, sikap dan pergaulan antara kami tetap mesra dan tidak berubah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pertemuan semula tersebut yang dirasmikan oleh Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Datuk Zulkifli Alias.

Penganjuran majlis itu merupakan kali kedua diadakan setelah pertemuan pertama berjaya dianjurkan pada 7 Januari tahun lalu di Dewan Kompleks Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Cheras.

Sementara itu, bekas anggota skuad berkenaan, Sarjan Mejar (B) Mohd. Rizal Kamarozaman, 48, berkata, selepas menjalani latihan asas kepolisan di Pulapol, beliau ditukarkan ke PPH Batalion 16 Kota Kinabalu, Sabah selama 25 tahun.

“Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan sewaktu berkhidmat pada 1996 ialah dijadikan tebusan lanun selama tujuh jam. Ketika itu, saya bertiga sedang membuat tugasan penyamaran di Kampung Air, Sandakan untuk menangkap ketua lanun setelah intipan dilakukan lebih sebulan.

“Kami diikat kaki dan tangan selain mata ditutup. Waktu itu saya hanya berserah pada Allah selain ingatkan isteri sebab kami diugut dibunuh sekiranya cuba melarikan diri. Mujur anggota Komando 69 datang membantu dan menyelamatkan kami,” katanya.[Utusan Online]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: