#SENSASI PANAS~Sah, bauksit punca laut merah di Kuantan

Rakaman lensa kamera keadaan laut di pesisir Pantai Batu Hitam kelihatan merah pada 29 Disember tahun lalu - Foto Farizul Hafiz Awang 

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengesahkan fenomena laut merah di sekitar Kuantan berpunca daripada lambakan stok simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan, Pahang yang mengalir ke laut.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan ujian terhadap sampel air yang dilakukan pada Mei hingga November lalu, kualiti air berada di kelas ketiga iaitu air memerlukan rawatan intensif.

"Kualiti air belum sampai di tahap kelima yang diklasifikasikan tercemar teruk dan bahaya...ini yang kita dapat sebelum ini tetapi keputusan terbaru masih belum diperolehi yang dijangka akan diketahui dua minggu lagi.

"Fenomena itu berpunca daripada tanah merah yang mengalir ke dalam laut daripada stok simpanan bauksit di pelabuhan," katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, pihaknya tidak mahu menafikan perkara ini seperti sesetengah pihak kerana punca utama laut bertukar merah adalah disebabkan bauksit.

Mengulas mengenai tahap kualiti udara, Wan Junaidi berkata, kementerian turut mengkaji beberapa tempat di Kuantan dan mendapati bacaan Indeks Kualiti Udara di situ mencecah 300 iaitu kurang sihat.

Katanya, kementerian memandang serius perkara itu dengan mengambil kira orang yang terjejas dalam industri dan mereka yang tidak ada kena mengena namun terjejas teruk akibat habuk dan debu yang berlaku.

"Mengambil kira faktor berkenaan, kabinet memutuskan untuk mengambil tindakan pada 27 November bagi melaksanakan penggantungan sementara aktiviti perlombongan bauksit," katanya.

Katanya, pihak pelabuhan Kuantan diberi tempoh satu bulan untuk membersihkan lambakan bauksi yang berada dalam simpanan di pelabuhan berkenaan.[myMetro]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: