#TEKA-TEKI~Ketua Jurulatih Harimau Malaya Diumum Petang Isnin

PETALING JAYA: Teka-teki mengenai individu yang bakal menjadi pilihan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) untuk menguruskan skuad kebangsaan bakal terjawab petang Isnin.

Sebelum ini, FAM pernah menyatakan ketua jurulatih baharu yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dollah Salleh akan diketahui pada 31 Oktober tahun lepas sebelum dianjakkan kepada penghujung 2015.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad mengesahkan Panel Pemilihan FAM sudah menyenaraipendek beberapa calon untuk jawatan itu yang kini dipangku sementara oleh bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee.

Jelasnya baru-baru ini, lebih 30 calon yang menghantar borang permohonan untuk menguruskan skuad Harimau Malaya ini.

Bagaimanapun katanya, keutamaan akan diberikan kepada calon yang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak tempatan kerana yakin individu berkenaan sudah 'masak' dengan budaya tempatan.

"Mekanisme temu duga bagi jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara yang digunakan sebelum ini akan turut diguna pakai panel pemilihan pada sesi temu duga itu nanti," jelas Abdul Mokhtar.

Media sebelum ini melaporkan FAM sudah menyenarai pendek tiga calon yang mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Mereka adalah Kim Swee, bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim Bojan Hodak serta bekas jurulatih Sarawak Robert Alberts.

Jawatan berkenaan kosong selepas Dollah meletak jawatan susulan kekalahan memalukan 10-0 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, UAE, 3 September lepas.[mStar]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: