#VIRAL~Kisah Zulkifli: Jangan langkaui sistem kehakiman kata peguam

SHAH ALAM - Masyarakat tidak boleh melangkaui sistem kehakiman dan terus membuat keputusan dalam kes seorang lelaki dikenali sebagai Zulkifli yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh perompak di rumahnya untuk mempertahankan diri.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, apa yang dilalui Zulkifli merupakan proses biasa atas kesalahan dilakukan.

“Zulkifli perlu menjalani proses tahanan reman, pendakwaan dan perbicaraan sehingga hakim yang membicarakan kes itu membuat keputusan sama ada dia bersalah atau tidak. Membunuh tetap merupakan satu jenayah maka Zulkifli mesti menghadap hakim dan melalui proses bicara.

"Cuma kerana beliau mempertahankan diri dan keluarga maka mudah bagi peguam mewakilinya menimbulkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan seterusnya membebaskan Zulkifli,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kisah Zulkifli menjadi viral di laman sosial dan masyarakat yang bersimpati dengan nasib bapa malang itu menuntut agar nasibnya dibela.

Ramai yang mempertikaikan penahanan itu susulan Zulkifli didakwa mempertahankan keselamatan keluarganya daripada perompak yang menceroboh ke rumahnya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Azam berkata, mempertahankan diri merupakan satu pembelaan bermerit yang dibenarkan di dalam Kanun Keseksaan walaupun menyebabkan kematian orang lain.

“Tetapi ada cara untuk membuktikan sama ada mempertahankan diri itu wajar atau tidak. Ada keperluan undang-undangnya.

“Bukan semudah alasan ‘ini rumah saya dan saya boleh buat apa yang saya suka’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menghentikan viral yang tidak benar, sebaliknya perlu membantu keluarga Zulkifli.

“Disebabkan kes dihadapi Zulkifli adalah pertuduhan bunuh, peguam mewakilinya merupakan lantikan mahkamah. Jadi kita tidak perlu kumpul duit upah peguam kerana kerajaan menyediakan peguam percuma jika tertuduh berdepan kes melibatkan hukuman gantung.

“Lebih baik masyarakat kutip derma untuk ringankan beban keluarganya sementara Zulkifli melalui proses mahkamah. Bagi kes Zulkifli, serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: