#BISNES~Bagaimana mengenali SCAM

Ketika kegawatan ekonomi berlaku,kepelbagaian skim/pelaburan cepat kaya muncul bagaikan cendawan selepas hujan.Orang2 cerdik pandai jadi 'boddo' seketika.Asal goyang kaki bulan2 dapat pitih.Dop dang 2 3 bulan mapuh kerah blake.Menyesal selepas hilang 20k..30k..150k..dah xberguna lagi.Jom kenali skim2 dalam pasaran.Share artikel ini supaya sahabat2 kita tidak terlibat dengan skim labu peram yg sentiasa berkeliaran mencari mangsa!

'BAGAIMANA MENGENAL SCAM?


AZIZI ALI


SALAH satu sebab mengapa orang ramai terjerumus dalam scam ialah kerana kegagalan mengenal pasti sesuatu skim itu adalah scam. Mungkin disebabkan cetek ilmu kewangan dan pelaburan, ramai yang tidak tahu pelaburan mana yang bagus, yang biasa dan yang scam. Ramai juga yang me­labur kerana terpesona dengan ayat-ayat indah yang ditabur oleh pengusaha scam!

Sebenarnya, tidak susah untuk mengenal scam. Ada beberapa petunjuk yang boleh diikuti.

- Pertama, semak laman web Bank Negara (BNM) – List of Licensed Financial Institutions. Jika nama syarikat tersebut tidak tersenarai, ia tidak mempunyai lesen dan juga kebenaran untuk menawarkan produk kewangan di Malaysia. Ini bermakna syarikat tersebut telah melanggar undang-undang, oleh itu risiko untuk melabur dengannya amat tinggi. Jika skim pelaburan itu gagal, besar kemungkinan semua wang pelabur akan terus lesap.

- Kedua, lihat pulangan pelaburan (ROI) yang diberikan oleh skim tersebut. Walaupun kita semua sememangnya mahukan ROI yang tinggi, pulangan itu mestilah angka yang munasabah dan masuk akal. Jika para pelabur bertaraf dunia seperti Warren Buffett dan George Soros pun memberi pulangan hanya 20 peratus hingga 34 peratus setahun, adakah munasabah dan masuk akal orang yang tidak pernah dikenali dapat memberikan pulangan lebih tinggi?

Saya boleh sahkan yang sukar untuk mendapat pulangan melebihi 15 peratus setahun secara konsisten di Malaysia (dan juga di seluruh dunia). Jadi mana-mana skim yang menjanjikan pulangan melebihi 15 peratus setahun adalah amat mencurigakan.

Sebagai contoh, scam Swisscash memberikan pulangan 20 peratus sebulan (240 peratus setahun)! Walaupun ROI ‘skim’ ini amat menarik, sudah tentu ada yang tidak kena dengan pulangan yang tinggi menggunung itu. Umpamanya pasukan bola sepak Kampung Seri Wangi mengalahkan pasukan Barcelona 10–0!

- Ketiga, jika pulangan diberikan begitu tinggi dan menarik, sudah tentu semua media massa di Malaysia dan di dunia termasuk CNN, Fortune dan Forbes akan memberi liputan meluas kepada pengurus dana tersebut. Takkanlah media massa dunia (yang tahu semua pelaburan lain) begitu buta sehinggakan tidak pernah mendengar pulangan yang sebegitu hebat? Jadi jika tidak ada liputan oleh media massa (bukan hanya dalam Facebook dan YouTube!) maka sekali lagi skim itu amat mencurigakan.

Jika pelaburan tersebut memberikan pulangan bulanan/mingguan/harian, maka besar kemungkinan ini adalah scam.

- Keempat, jika satu pelaburan, dana itu perlu mempunyai prospektus dan laporan tahunan. Maklumat seperti objektif dana, sejarah, pulangan, risiko, kegunaan wang yang dikutip, nama pengurus, kelayakan pengurus dan pengalaman pengurus mestilah ada dalam dokumen tadi, bukan main sebut mulut sahaja. Maklumat ini penting untuk kita membuat analisis dan penyelidikan tentang skim tersebut.

- Kelima, dana itu juga perlu mempunyai auditor dan trustee. Nama, pengalaman serta kelayakan mereka mesti jelas dan bukan main sebut nama saja. Kedua-duanya adalah kritikal kerana tanpa mereka, tidak ada siapa memantau dana yang dikutip. Ini situasi yang amat membahayakan untuk pelabur. Si pengurus boleh melakukan apa saja dengan wang yang dikutip – beli kereta baru, melancong ke Tokyo, kahwin lagi satu!

- Keenam, sudah tentu nama syarikat dan pelaburan tersebut tidak boleh ada dalam senarai hitam BNM dan/atau Suruhanjaya Sekuriti. Jika ada, lupakan saja ‘pelaburan’ tersebut.

Jangan lupa juga yang kebanyakan scam ini telah menukar nama syarikat, nama ‘pelaburan’ atau alamat laman web (URL) untuk menutup langkah-langkah gelap mereka. Sebagai contoh, scam UFun kini ditukar nama menjadi Unascos. Jadi kalau si pengurus dan konco-konco masih orang yang sama, lupakan juga ‘pelaburan’ tersebut.

- Ketujuh, untuk pengetahuan anda, syarikat Sdn. Bhd. sebarangan tidak boleh mengutip wang pelabur tanpa lesen dan kebenaran daripada BNM. Hanya bank, syarikat unit amanah, syarikat insurans, pengendali takaful dan penyedia perkhidmatan pengiriman wang yang boleh bertindak demikian. Ini bermakna ‘pelaburan’ seperti UFun/UToken, Unascos, Mecca Fund dan HighwayGroup Resources (HGR) telah me­nyalahi undang-undang Malaysia.

Syarikat Sdn. Bhd. juga tidak boleh menawarkan atau menjual sahamnya kepada orang ramai. Hanya syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dibenarkan berbuat demikian. Jadi mana-mana syarikat (sama ada baru ditubuhkan atau sudah wujud) yang menawarkan atau menjual sahamnya kepada orang ramai – melalui ceramah, seminar, Facebook atau emel – telah menyalahi undang-undang Malaysia.

- Kelapan, jika ini peluang perniagaan MLM (boleh rekrut downline), syarikat tersebut perlu ada lesen jualan langsung. Jika tidak ada, syarikat tersebut telah menyalahi undang-undang Malaysia.

- Kesembilan, jangan juga lupa setiap pelaburan yang memberikan pulangan tetap seperti Fixed Deposit adalah haram dalam Islam. Ini bermakna banyak skim yang tengah panas sekarang termasuk HGR adalah haram.

Seperti yang anda boleh lihat, kebanyakan ‘pelaburan’ yang diuar-uarkan melalui Facebook, Internet dan emel tidak mempunyai dokumen-dokumen yang disebut di atas. Oleh itu, besar kemung­kinan pelaburan itu tidak betul dan tidak sah. Ini bermakna risiko untuk ‘pelabur’ dalam skim-skim tersebut adalah tinggi dan peluang untuk mereka menanggung kerugian teramat tinggi.

Walaupun pengusaha scam memberikan pelbagai alasan me­ngapa skim mereka unik, betul dan sah, malah menjanjikan bulan dan bintang dan tidak teragak-agak menggunakan ayat-ayat agama untuk menarik hati dan wang pelabur, besar kemungkinan ia adalah scam jika tidak mempunyai perkara-perkara yang saya nyatakan.

Memang mengelirukan apabila pengusaha scam sering menggunakan pelaburan atau perniagaan yang sah sebagai topeng. Sebagai contoh, Genneva, Pegasus Bullion dan Emas ETA menggunakan emas sebagai topeng. UFun menggunakan mata wang digital sementara Mecca Fund menggunakan bisnes hotel di Mekah sebagai topeng dan penarik. Sebenarnya, pelaburan dan/atau bisnes tersebut tidak wujud atau wujud pada nama sahaja.

Apabila kita bertanya tentang dokumen atau lesen tertentu, ayat yang biasa digunakan pengusaha scam ialah: “Permohonan telah dibuat dan hanya menunggu kelulusan”. Ayat ini tidak boleh dipakai kerana selagi kelulusan bertulis tidak diterima, mereka tidak boleh beroperasi. Sebagai contoh, scam HGR mengaku mereka telah menubuhkan Koperasi Persatuan Bersatu Berhad atau KPBB untuk menghalalkan scam mereka. Realitinya, HGR belum mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi (dan sudah pasti tidak akan mendapat kelulusan tersebut). Tetapi ahli koperasi serta wang pelabur sudah dikutip! Ini menyalahi undang-undang.

Umpan lain yang sering digunakan oleh pengusaha scam untuk menarik perhatian pelabur baharu ialah mendakwa sudah ramai VIP termasuk isteri menteri dan kerabat diraja, artis, doktor dan profesor menyertai skim mereka. Ada juga mendakwa sudah bertemu dengan CEO skim tersebut dan boleh mengesahkan dia seorang yang jujur, baik hati dan tidak akan menipu sesiapa. Jika CEO itu orang Melayu, maka ayat, “Takkanlah dia nak tipu orang Melayu pula?” akan diulang berkali-kali.

Ada juga pengusaha scam yang membuat ‘kerja sosial’ atau CSR untuk menampakkan kebaikan dan kejujuran mereka. Ini termasuklah menderma kepada anak yatim dan mereka yang ditimpa kecelakaan. Langkah sebegini telah dilakukan oleh scam YSLM, UFun dan juga Tok Belagak (pengusaha skim Emas ETA). Sebenarnya, mereka ini tidak rugi apa-apa apabila memberikan derma tersebut sebab wang itu bukan wang mereka! Wang itu dikutip daripada ‘pelabur’!

Jadi janganlah tertipu akan ayat-ayat dan lakonan mereka ini kerana semua itu adalah tirai untuk menutup usaha serong mereka.

*PENULIS ialah penceramah dan mentor pelaburan terkenal yang boleh diikuti menerusi akaun Facebook, Azizi Ali Mentor Wang.
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: