#BOLASEPAK~Gol Cantik Faiz Subri Cetus Fenomena Seluruh Dunia

FAIZ ledak gol yang dianggap paling cantik di dunia.

Kuala Lumpur: Nama penyerang Pulau Pinang Faiz Subri secara tiba-tiba ‘meletup’ apabila menjadi perhatian peminat bola sepak dunia.

Malah, gol itu dianggap antara jaringan paling unik dalam sejarah bola sepak dunia dengan ada yang melabelkan tendangannya mirip sepakan percuma Roberto Carlos yang dilakukan pada 1997 ketika aksi persahabatan Brazil menentang Perancis.

Sepakannya yang dikenali sebagai ‘banana kick’ itu seolah-olah melawan hukum fizik.

Menurut media antarabangsa Mirror.co.uk, jaringan pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu lebih aneh daripada bintang Brazil itu kerana lebih melencong tetapi turut menjunam laju untuk singgah ke penjuru atas kanan gawang.

Selain Mirror, jaringan menarik pada minit ke-62 itu turut menarik perhatian media antarabangsa lain seperti Sydney Morning Herald, Independent, SB Nation serta 101goals yang rata-rata berpendapat jaringan itu bakal memenangi Anugerah Puskas 2016.

Bagi pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, jaringan Faiz itu membuktikan pemain tempatan juga berkualiti serta mempunyai kemampuan untuk menggegar arena dunia andai berkerja keras dalam latihan.

“Saya percaya Faiz berusaha bersungguh-sungguh ketika latihan, malah teknik diambilnya juga cukup baik dan tepat.

“Buat saya, jaringan itu bukan nasib kerana dia sememangnya mahu tujukan bola itu ke dalam gawang dan bukannya ingin membuat hantaran. Gol pertamanya juga bagi saya begitu menarik hasil teknik yang betul.

“Bukan itu saja, Faiz turut membuktikan pemain tempatan juga boleh bersaing dengan import dalam liga kita (Liga Malaysia) malah sebenarnya lebih baik lagi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Bekas pemain negara dan pengkritik bola sepak tempatan, Khalid Ali turut senada dengan Kim Swee apabila menyifatkan jaringan itu antara gol tercantik pernah disaksikannya.

“Saya lihat dia (Faiz) agak tenang sebelum dan ketika membuat sepakan itu. Lenggok badan dan kakinya begitu stabil ketika membuat sepakan selain memiliki imaginasi kuat untuk meletakkan bola di posisi yang dimahukan.

“Jelas teknik sepakannya berkelas dunia dan saya yakin Faiz membuat latihan berulang kali bagi mendapatkan kesempurnaan,” katanya.[MyMetro]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: