#BREAKING NEWS~Tan Sri Muhyiddin digantung jawatan timbalan presiden UMNO, Zahid pangku jawatan

Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Bernama, penggantungan Muhyiddin berkuat kuasa sehingga pemilihan parti akan datang.

Keputusan itu dikatakan dibuat secara sepakat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Muhyiddin tidak hadir dalam mesyuarat hari ini dan dikatakan berada di luar negara.

Bernama juga melaporkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memangku tugas Muhyiddin sehingga pemilihan parti akan datang.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata keputusan dibuat berdasarkan konsensus tadi diharap dapat membantu parti Melayu itu untuk terus mara.

“Hakikat bahawa keputusan telah dibuat oleh majlis tertinggi dan keputusan dibuat ini bersandarkan (kepada sebab) kita nak melihat ke hadapan (dalam) satu pasukan bagi berhadapan dengan rakyat.

“Dan harapan peribadi saya, dengan keputusan yang dibuat secara konsensus ini dapat membantu kita bergerak ke hadapan tanpa kita mempertikaikan gerakan-gerakan yang saya tengok penting ketika kita berhadapan dengan rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi PWTC.

Muhyiddin sebelum ini digugurkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri setelah lantang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Langkah itu dilihat sebagai gerak terbaru Najib menguatkan cengkamannya dalam parti setelah Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan beliau daripada sebarang salah laku.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhkriz Mahathir, yang juga kritikal kepada pentadbiran Najib seperti bapanya, juga telah berjaya ditukar sebelum ini.

Seorang anggota MT Datuk Seri Nazri Aziz baru-baru ini mengumpamakan tindakan Muhyiddin kebelakangan ini “ibarat anjing yang sibuk menggigit kaki” sehingga menyukarkan Umno melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau sebelum ini berkata mahu membawa cadangan kepada jawatankuasa disiplin parti pada mesyuarat MT Umno hari ini agar Muhyiddin digantung jawatannya.

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: