#SENSASI~Harga barang tak turun, pengguna perlu bertindak

SHAH ALAM - Pengguna hari ini perlu bijak memainkan peranan masing 'memerangi' peniaga-peniaga yang tetap mengambil kesempatan serta tidak menurunkan harga barang dengan pelbagai alasan meskipun harga minyak telah mengalami beberapa kali penurunan.

Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, pengguna perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri bukan menyerahkan semua perkara kepada kerajaan.

"Ini (harga minyak turun tapi harga barang tak turun) perangai biasa yang saya rasa kita sebagai pengguna perlu ambil tindakan. Tindakan paling wajar ialah jangan beli dari kedai-kedai yang berterus-terusan meletakkan harga tinggi.

"Kita 'complaint' harga barang naik, harga barang tak turun-turun tapi kita terus menerus beli dari kedai sama. Ini orang kata, cakap tidak serupa bikin.

"Kita berhenti daripada membeli dari kedai itu. Ini akan memaksa peniaga menurunkan harga. Kalau kita terus beli juga tapi masih 'complaint', tak ada gunanya," katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, penurunan harga minyak mentah dunia merupakan berita baik untuk pengguna namun tidak baik untuk kerajaan kerana kerajaan memerlukan pendapatan melalui penjualan minyak.

"Cuma saya tidak rasa ia akan memberi kesan serta merta kepada harga barangan. Mungkin mengambil masa (untuk turun harga barang).

"Pada waktu sama, kebanyakan peniaga kita ini tidak bersaing semata-mata berdasarkan harga, mungkin tidak ramailah yang menurunkan harga apabila harga minyak turun," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengibaratkan para peniaga seperti kucing yang hanya tahu memanjat pokok namun tidak boleh turun sendiri.

"Kucing kalau ada pokok kelapa, dipanjat walau setinggi mana pun tapi nak turun tak boleh.

"Tak jauh lah peniaga kita dengan kucing, pandai naik (harga) tapi tak pandai turun (harga). Minyak dah turun banyak kali tapi harga barang begitu juga," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengguna perlu bijak membuat keputusan dengan berurusan di kedai yang menawarkan harga lebih rendah.

"Tapi pengguna ini nak juga beli dari tempat yang mahal. Jadi, tanggunglah sendiri," katanya.

Turut senada, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ada sesetengah pengguna yang bersikap tidak kisah hingga memudahkan peniaga mengambil kesempatan.

"Sepatutnya, apabila harga minyak turun, harga sebahagian barang yang dinaikkan sebelum ini disebabkan harga minyak naik perlu mengalami penurunan. Jadi, kita kena 'ajar' supaya peniaga ini sedar dan tidak mengambil kesempatan.

"Ada pengguna anggap buat aduan tapi tiada tindakan. Saya menyeru agar pengguna lebih peka terhadap perkara ini kerana aduan yang kita buat menjadi panduan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: