#DILEMA WANITA~Akibat Skandal Dengan Suami Orang...

Oleh:Nadia Mingguan Wanita

Mula menjalinkan cinta dengan suami orang atas dasar kebendaan namun tanpa disedari wujud perasaan sayang. Itulah yang dilalui oleh gadis ini. Ya, hubungan tak berpanjangan apabila dia menemui cinta baru sekali gus menyebabkan kekasihnya yang juga suami orang tidak puas hati lalu mendedahkan semua kisah buruk mereka. Ikuti kisah yang boleh dijadikan pengajaran untuk para gadis di luar sana.

++++++++++++++++++++++++++++++++++

Berusia 21 tahun, rasanya masih terlalu muda untuk bergelar isteri khususnya kepada lelaki yang sudah mencecah usia 40-an. Saya mengenali lelaki ini pada saat dia memerlukan saya di sisinya. Sedangkan dia sudah pun punya isteri yang sangat taat kepadanya.

Sebelum serius menjalinkan hubungan, saya terlebih dahulu mengenalinya sebagai suami kepada seorang teman. Namun demi keseronokan dan kemewahan yang dicari, saya ketepikan perasaan itu dengan menerimanya sebagai kekasih.

Saya hanyalah seorang pekerja biasa di salah sebuah premis dengan gaji yang cukup makan dan amat mustahil untuk saya membeli apa yang saya kehendaki atau inginkan.

Tetapi selepas mengenalinya, saya mampu memiliki telefon bimbit berjenama, komputer riba, kereta malah barang-barang kemas yang semuanya adalah pemberian darinya. Jujurnya saya memang mencintainya malah saya menerimanya dahulu pun kerana merasakan saya kekurangan kasih sayang akibat keluarga bercerai berai.

Hampir setahun mengenalinya, empat bulan pertama dahulu, saya pernah ‘kantoi’ dengan isterinya yang berjaya menghidu hubungan kami. Saya sanggup berdepan dengan isterinya untuk menceritakan segalanya namun dihalang lelaki itu.

Dia takut hubungan kami diketahui isteri, malah meminta saya tidak menceritakan apa-apa kepada isterinya. Saya juga dipaksa mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya, apalagi mengaku saya ini kekasihnya.

Saya kecewa dengan sikapnya tetapi demi sayang, saya masih memilih untuk bersama. Sehingga saya sanggup menyerahkan mahkota kesucian kepadanya. Semuanya saya lakukan kerana dia berjanji akan mengahwini saya sebagai isteri kedua. Kami merancang bernikah di sempadan kerana dia tidak mahu isteri dan keluarganya tahu hal ini.

Sebagai makluman, teman lelaki saya ini hanyalah seorang pemandu di sebuah syarikat bijih besi. Gajinya mencecah hampir RM8000 sebulan dan ternyata dia memang mampu beristeri dua dengan gajinya itu. Namun hubungan kami sedikit kendur apabila dia mendapat tahu isterinya mengandung.

Saya ingin mengundurkan diri daripada hubungan ini. Dia mungkin akan lebih bahagia bersama isterinya. Malangnya, lelaki itu mengugut akan membongkar hubungan kami kepada ayah saya. Mengingatkan tentang ugutannya, saya terpaksa bersabar dan mengikut apa saja kehendaknya kerana tidak mahu hal ini diperbesarkan.

Kini saya telah berkenalan dengan lelaki lain yang bekerja sebagai kontraktor di sekitar tempat kerja saya. Sepanjang berkawan dengan lelaki baru ini, saya sentiasa mengelak daripada bertembung dengan kekasih lama kerana tidak mahu hubungan saya diketahui teman baru.

Sampai bila hubungan kami ini harus dirahsiakan sehinggalah saya terfikir lebih baik memberitahu hubungan kami kepada isterinya. Niat saya, agar kami boleh berkahwin secara baik di Malaysia selain mendapat restu keluarga.

Tetapi apa yang saya rancang semuanya musnah kerana kekasih saya tahu mengenai hubungan saya dengan teman baru. Dia meminta saya memulangkan semua barangan yang dia pernah hadiahkan dahulu. Lebih keji dia memburukkan nama baik saya dengan mengatakan saya telah dinodai hingga melahirkan seorang anak.

Saya dipandang hina oleh orang kampung namun nasib saya baik kerana tidak dibuang keluarga. Keluarga cuma meletakkan semua kesalahan ke atas diri saya seorang. Adakah semua ini salah saya? Saya ingatkan apabila perkara sebenar diberitahu kepada keluarga, kami dapat berkahwin secara baik-baik, tak sangka saya pula dipersalahkan sepenuhnya.

Saya merasakan kehidupan seperti tiada hala tuju. Saya mungkin tidak akan berkahwin sampai bila-bila kerana saya percaya tiada siapa dapat menerima keadaan diri saya yang bersalah dan bergelumang dosa.

Saya mahu mencari ketenangan jiwa dengan mendekatkan diri pada agama. Tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Bantulah saya...

Credit

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: