#BOLASEPAK~Aliff Syukri ‘Terlajak Laris’ Taja RM30 Juta Skuad Kedah

ALOR SETAR – Kebimbangan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengenai kantungnya makin kering bakal selesai setelah pengasas syarikat D’Herbs Healthy Sdn. Bhd. bersedia menaja RM30 juta untuk tempoh tiga tahun.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya difahamkan bahawa Datuk Aliff Syu­kri Kamarzaman bersedia memberi RM10 juta setahun, namun perkara itu hanya persetujuan pada peringkat awal.

“Petang Jumaat sebelum perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara pasukan Kedah menentang Sabah, Aliff Syukri dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden KFA baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

“Pertemuan itu bertujuan memuktamadkan beberapa perkara terutama yang berkaitan dengan perundangan dan permintaan D’Herbs masih perlu diperhalusi sebelum kata sepakat akhir dicapai antara ke­dua-dua belah pihak.

“Setakat ini, kami tiada masalah bersetuju dengan permintaan D’Herbs, tetapi ada beberapa perkara terpaksa ditolak kerana tidak mahu langgar peraturan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” katanya.

Aminuddin memberitahu, Aliff Syukri juga ada memohon supaya diberi peluang untuk menjadi sebagai Ahli Kehormat KFA dan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menunaikan permintaan beliau tersebut.


“Perbincangan kini telah ber­ada dalam peringkat ‘titis-titis terakhir’ sebelum dimuktamadkan, kami berharap semua penyokong berdoa agar rundingan ini mencapai kata sepakat dan dipersetujui kedua-dua pihak,” ujarnya.

Sebelum ini, D’Herbs dilaporkan hampir ‘tarik diri’ menaja juara Liga Perdana 2015 dan naib juara Piala Malaysia tahun lalu itu susulan peralihan menteri besar daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Ahmad Bashah.

Hasil perjanjian ini menjadikan skuad Lang Merah pasukan kedua di Malaysia menerima tajaan jutawan kosmetik selepas Kelantan yang ditaja pengasas produk jenama Pamoga, Datuk Seri Dr. Hazmiza Othman atau Dr. Vida.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, syarikat bas tempatan, Cosmic Express juga sudah memberi persetujuan untuk meneruskan rancangan menaja pengangkutan pasukan Lang Merah mengharungi perlawanan musim 2016.

“Saya telah bertemu Datuk Abu Hassan Awang, pemilik syarikat itu bersetuju meneruskan niat beri sebuah bas untuk kegunaan rasmi KFA. Alhamdulillah, semua rancangan penajaan tertangguh sebelum ini selesai,” ujarnya.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: