#TOKOH ~Pemikiran Dr Zakir dan Ahmed Deedat

DR Zakir Abdul Karim Naik ialah seorang pakar dalam bidang perbandingan agama di peringkat antarabangsa. Dr Zakir terkenal dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat berkesan, menggunakan dalil-dalil al-Quran dan sunah Nabi SAW serta beberapa kitab agama lain seperti Bible, Veda dan Bhagwad Geeta.

Dilahirkan di Mumbai, India pada 18 Oktober 1965, Dr Zakir terkenal dengan kebolehannya mematahkan hujah pihak lawan dan memberikan jawapan yang meyakinkan terhadap persoalan yang dikemukakan secara spontan.

Pada tahun 2002, beliau memberi lebih dari 1,000 ceramah di peringkat antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Afrika Selatan, Itali, Mauritus, Australia, Malaysia, Singapura, Hong Kong, Thailand dan di tempat beliau sendiri, India.

Dr Zakir mendapat pendidikan awal di St Peter’s High School, Mumbai, Topiwala National Medical College, Nair Hospital, Mumbai. Kemudian beliau mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang perubatan, Bachelor of Medicine dan Bachelor of Surgery di Universiti of Mumbai, India.

Beliau melibatkan diri dalam aktiviti dialog antara agama, dan antara yang paling berhasil adalah dialog bersama-sama Dr William Campbell (Amerika Syarikat) pada 1 April 2000. Beliau mendapat gelaran dalam dunia perbandingan agama daripada gurunya, Syeikh Ahmed Deedat, sebagai ‘Deedat Plus’; pada 1994.

Pada Mei 2005, Ahmed Deedat memberi anugerah kepada Dr Zakir sebagai: “Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish.” (Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun).

Beliau sering dijemput menyampaikan ceramah di beberapa stesen televisyen dan radio di beberapa negara, dan kini terdapat ratusan video rakaman ceramah beliau boleh didapati dalam bentuk pita video dan cakera padat (CD).

Dr Zakir banyak berceramah mengenai perbandingan agama, seorang wanita beragama Hindu menganut Islam secara LIVE di Peace TV selepas bertanya satu soalan kepada beliau.
Setelah berpuas hati mendengar penjelasan daripada Dr Zakir, tanpa teragak-agak wanita itu mengucap dua kalimah syahadah. Di samping itu juga Dr Zakir sudah banyak mengislamkan penganut agama lain kepada Islam.

Pada 2013 kerajaan Malaysia memberi Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Dr Zakir Naik sebagai pendakwah bebas. Kerajaan menilai seseorang penerima secara keseluruhan sebelum menyampaikan anugerah tersebut. Sebelum ini banyak kalangan yang mengkritik terhadap Dr Zakir mengenai ceramah dan dakwah disampaikan beliau dalam pemikiran dan fahaman mengenai Islam sebagai kontroversi. Bagaimanapun perkara tersebut telah dijawab dengan puas hati oleh Dr Zakir dan diterima dengan baik pula oleh kalangan yang berkenaan.

Dr Zakir Naik telah mengasaskan Islamic Reseach pada Februari 1991 untuk menyebarkan dakwah dan mesej Islam kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dengan itu lahirlah buku-buku, dokumentari dan video-video ceramah, telah sampai kepada berjuta-juta manusia di seluruh dunia melalui siaran TV satelit antarabangsa, internet dan media cetak. Kebanyakan menumpukan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan kesempurnaan agama Islam berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadis sahih dan juga logik akal.

Dr Zakir Naik seorang pendakwah bebas yang mendapat gelaran ‘walking computer’ kerana ingatan beliau yang baik dan sempurna. Justeru, beliau diberi gelaran ‘Deedat Plus’ kerana kebolehan berhujah mengenai Islam dan Kristian sebagaimana Ahmed Deedat, tetapi Dr Zakir Naik memiliki lebih banyak kelebihan lagi. Dalam perdebatan, beliau secara bersahaja memetik kandungan al-Quran, hadis, Bible serta buku dan kajian terkini sains dan teknologi. Semuanya beliau lakukan dalam ingatan luar biasa tanpa merujuk kepada sebarang teks. Semua rujukan beliau itu dihafal secara ayat ke ayat.

Hasil debat antara Dr Zakir Naik dan Dr William Campbell tersebut adalah dilaporkan, ratusan orang telah menganut Islam setelah melihat perdebatan itu. Sesungguhnya kita berasa takjub akan kurniaan ALLAH SWT terhadap Dr Zakir Naik. Wallahualam.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: