#ICON PERLIS~SIRIM merekabentuk label khas untuk Harumanis

Harum manis. - Sekadar gambar hiasan

PADANG BESAR - Kerajaan Perlis mengambil langkah proaktif meminta SIRIM merekabentuk label khas mempelam harumanis demi memelihara kepentingan pengusaha ikon Perlis itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Ahmad Bakri Ali berkata, pelabelan Harumanis Perlis dengan logo SIRIM, bertujuan mencegah penipuan oleh peniaga.

"Kita telahpun mengadakan rundingan dengan SIRIM supaya membuat label khas dan berharap label itu dapat digunakan pada musim tahun hadapan sesuai dengan Harumanis Perlis yang telah dipatenkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksi majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) kontrak pemasaran Mangga Perlis dan Rock Melon antara FAMA dan pengusaha projek buah-buahan itu di Kampung Guar Panji di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Bakri kemunculan pelbagai jenis mangga menggunakan nama 'harumanis' menjejas imej Perlis sebagai pengeluar utama buah tersebut.

"Dalam usaha kita memastikan hanya buah berkualiti dipasarkan, timbul harumanis tipu, harumanis tong dam, harumanis Indonesia dan harumanis Thailand.

"Bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan...ialah mengenakan label khas pada produk tersebut dengan dikawal oleh agensi seperti Jabatan Pertanian dan FAMA," kata Ahmad Bakri.

Katanya kemerosotan pengeluaran mempelam itu akibat fenomena el-Nino menyebabkan harganya mencecah sehingga RM40 sekilogram namun Jabatan Pertanian Perlis menetapkan harga di ladangnya tidak melebihi RM25 satu kilogram.

Ahmad Bakri berkata pemilik kebun yang telah menanam mempelam Sala (Perlis Sunshine) tidak digalak menggantikannya dengan harumanis kerana mempelam Sala mempunyai pasaran tersendiri walaupun harga ladang cuma RM3 sekilogram.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan), Mansor Omar berkata FAMA dengan kerjasama Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bertindak mendidik dan menasihat para peniaga di kawasan tertentu termasuk Kuala Lumpur mengenai hakcipta Harumanis Perlis. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: