#INFO SIHAT~52.5 Peratus Penduduk Dewasa Di Perlis Gemuk - Dr Zaini

KANGAR – Sebanyak 52.5 peratus daripada penduduk dewasa di negeri ini mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis Dr Zaini Hussin.

Dr Zaini berkata orang ramai sering memberi perhatian dalam pencegahan berkaitan penyakit berjangkit, namun kurang waspada dengan masalah penyakit tidak berjangkit seperti masalah kegemukan yang turut mengancam nyawa.

“Berat badan berlebihan boleh menjadi punca kepada penyakit kronik yang lain seperti, darah tinggi, penyakit jantung dan tinggi kolestrol selain mudah penat dan pergerakan terbatas.

Antara punca utama manusia menghidap pelbagai penyakit berkenaan adalah kerana tidak mengamalkan pola pemakanan seimbang serta jarang bersenam,” katanya selepas merasmikan sambutan Bulan Pemakanan peringkat negeri Perlis di dewan Pejabat Kesihatan Negeri, Utan Aji di sini Khamis.

Selain itu Dr Zaini berkata sebanyak 20.6 peratus daripada penduduk di negeri ini yang berumur 18 tahun ke atas merupakan penghidap kencing manis yang mana Perlis adalah negeri kedua tertinggi yang mengidap penyakit berkenaan di Malaysia.

Bagi penyakit tekanan darah tinggi pula sebanyak 35.4 peratus dan penghidap kolestrol tinggi sebanyak 47 peratus daripada keseluruhan penduduk Perlis, menurut Dr Zaini.

Justeru, katanya masyarakat di Perlis perlu mengambil langkah proaktif dan lebih inklusif bagi menangani gejala tersebut khususnya dalam pemilihan makanan serta meningkatkan pengetahuan kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini menasihatkan penduduk Perlis agar berwaspada dengan pembiakan nyamuk Aedes memandangkan perubahan cuaca di negeri ini dari musim kemarau kepada hujan.

“Pastikan bekas-bekas yang boleh menakung air diselenggara dengan betul agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.

Walaupun situasi demam denggi/denggi berdarah di Perlis adalah terkawal dan menurun di sesetengah kawasan, amalan menjaga kebersihan terutamanya aktiviti gotong royong perlu terus menjadi amalan,” katanya. – BERNAMA

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: