#KONTROVERSI~Pemilik D'Herbs Jelaskan Perkara Sebenar Isu Penajaan Pasukan Bolasepak Kedah

Pengasas D'Herbs Healthy Sdn. Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bercakap pada sidang meddia berkenaan isu penajaan Kedah di pejabatnya di Wisma Dherbs Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian

PENGASAS D'Herbs Holding, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menafikan dakwaan yang mengatakan beliau ingin memiliki tanah di negeri Kedah sebagai syarat untuk menaja pasukan bola sepak negeri tersebut.

Menurutnya, melalui perbincangan sebelum ini, pembangunan tanah tersebut dipersetujui dibuat melalui proses usahasama dengan anak syarikat negeri Kedah iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah(PKNK).

"Tanah berkenaan merupakan tapak projek terbengkai sebelum ini dan hasil perbincangan telah bersetuju agar tanah berkenaan dibangunkan secara kerjasama dengan PKNK.

"Tiada istilah saya mahukan tanah itu secara percuma, dan apa yang saya nak hanyalah untuk pelaburan. Kalau betul saya nak tanah, dengan RM30 juta saya boleh dapat tanah di Selangor," katanya dalam sidang media yang berlangsung di Wisma D'Herbs Kota Damansara , hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memaklumkan penolakan tawaran penajaan oleh D'Herbs adalah bagi memastikan hak rakyat negeri itu tidak tergadai.

Dalam pada itu, Aliff berkata, pihaknya merasa amat kecewa memandangkan tiada sebarang sesi perbincangan diadakan sebelum KFA memuktamadkan keputusan tersebut

"Mengapa sebelum ini kami boleh berbincang selama dua bulan tapi bila keputusan penolakan ini dibuat tiada perbincangan diadakan terlebih dahulu.

"Sedangkan sebelum ini kami telah beberapa kali boleh berbincang dan mengubah draf kertas cadangan usahasama terbabit namun ketika mereka memuktamadkan keputusan, tiada langsung perbincangan dan pihak mereka terus membuat sidang media," katanya.

Selain daripada itu, Aliff mengakui pihaknya merasa amat terkejut dengan penolakan penajaan tersebut dan menggesa agar pihak berkenaan menunjukkan bukti bahawa beliau ingin merampas tanah-tanah milik rakyat Kedah.

Beliau berkata, pihaknya akan menawarkan wang bernilai RM100 juta sekiranya terdapat bukti sedemikian seperti dakwaan Menteri Besar Kedah tersebut.

"Saya amat kecewa bila didakwa ingin merampas tanah negeri Kedah. Kalau macam ini permainannya, sudah lama saya tarik diri," katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: