#POLITIK~Pakatan Harapan boleh lupakan PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar - Hadi Awang

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata PAS tidak mahu lagi bekerjasama dengan pembangkang yang menyertai pakatan itu memandangkan selama ini PAS banyak berkorban untuk menyelamatkan reputasi pakatan pembangkang.

PAS bertegas tidak akan berunding dengan Pakatan Harapan bagi memberi laluan kepada mereka meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak mahu lagi bekerjasama dengan pembangkang yang menyertai pakatan itu memandangkan selama ini PAS banyak berkorban untuk menyelamatkan reputasi pakatan pembangkang.

"Kalau nak suruh PAS bekerja bagi pihak dia, PAS memang tidak boleh terima lagi sebab banyak kawasan yang kita lepaskan kepada mereka sebelum ini yang tidak diambil peduli, hanya orang PAS yang buat kerja untuk mereka.

"Mereka (pembangkang) hanya datang waktu pilihan raya, sudah berapa banyak pilihan raya orang PAS yang kerja kuat sebab mereka bekerja sepanjang masa," katanya kepada pemberita di pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia di sini hari ini.

Katanya, beliau yakin PAS boleh memenangi kedua-dua kerusi berkenaan tanpa sokongan pakatan itu memandangkan PAS sudah bertapak lama di dua-dua kawasan berkenaan dan rekod pilihan raya sebelum ini PAS berjaya meningkatkan majority undi walaupun gagal merebut dua kerusi Parlimen itu.

"Kita tidak beri apa-apa harapan kepada Pakatan Harapan sebab kita yakin dengan kekuatan kita sendiri..ini parti yang baru nak bertunas, sedangkan kita dah bertunjang di situ," katanya.

Mengulas mengenai calon yang bakal diketengahkan pada PRK tersebut, Abdul Hadi kata PAS akan mencalonkan empat nama yang telah dipersetujui Majlis Syura.

"Calon-calon berkenaan merupakan anak tempatan. Saya akan mengumumkan nama-nama yang akan bertanding malam ini di Sungai Besar, manakala Timbalan saya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengumumkan calon di Kuala Kangsar," katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak kosong berikutan dua penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh PRK kedua-dua kawasan dijalankan serentak pada 18 Jun nanti.[Awani]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: