#POLITIK ~Profesor Dr Ridhuan Tee beri lapan sebab PAN tidak layak gunakan nama Amanah

KUALA LUMPUR: Ahli akademik Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah mempertikaikan penggunaan nama Amanah bagi Parti Amanah Negara, sekali gus menyifatkan Pendaftar Pertubuhan (Ros) membuat kesilapan kerana meluluskan akronim berkenaan.

“Apakah layak mereka ini dipanggil amanah sedangkan ramai yang tidak amanah duduk di situ? …Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah melakukan kesilapan meluluskan akronim tersebut,” katanya dalam kolum Sinar Harian.

Amanah merupakan parti serpihan Pas dianggotai oleh ahli dan pemimpin yang tidak bersetuju dengan pendekatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mencadangkan supaya Pendaftar Pertubuhan menarik balik akronim Amanah tersebut dan digantikan dengan PAN.

Katanya: “Perkara ini penting bagi mengelakkan kekeliruan seperti Amanah Saham, Amanah Ikhtiar, Amanah Raya dan sebagainya.”

Beliau memberi tujuh sebab mengapa parti berkenaan tidak layak dipanggil Amanah

Pertama, katanya Ridhuan yang juga Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI UniSZA, amanah adalah satu nilai yang amat mulia dan salah satu sifat Nabi dan tidak seharusnya ada pada nama parti politik.

Kedua, setakat pemerhatian, ketika berkempen, taktik dan teknik matlamat menghalalkan cara digunakan.

“Ramai kalangan mereka menjadi tidak amanah. Mulut bacul, mengata dan mengumpat peribadi orang terutama peribadi Perdana Menteri dan Presiden Pas,” katanya.

Ketiga, menurut beliau, apakah namanya Amanah apabila mereka sudah belot dengan parti Pas yang telah menaikkan dan mempopularkan nama mereka.

Beliau berkata, hari ini Amanah mengemis simpati bekas pemimpin Umno untuk bersamanya.

Sebab keempat, menurut pendakwah bebas kontroversi itu ialah Amanah bukan sahaja mengkhianati Pas, tetapi juga Abim, Umno dan lain-lain.

Kelima, apakah amanah apabila keluar daripada Pas yang telah memenangkan mereka sebagai wakil rakyat.

Katanya: “Apabila disuruh keluar dan letak jawatan sebagai wakil rakyat, mereka menyalahkan Pas pula.”

Keenam, Amanah, katanya, bersubahat dengan ultra kiasu menentang agenda Islam, terutama RUU 355.

“Dikatakan tidak lengkap dan banyak kelemahan. Apa yang telah Amanah lakukan untuk melengkapkannya? Di mana amanahnya?,” katanya.

Ketujuh, Amanah mungkin berhujah di luar negara seperti Britain dan Iran menggunakan nama Trust.

“Tidak mengapalah, mereka bukan Islam. Kadangkala mereka lebih amanah daripada kita,” katanya.

Kelapan, menurut beliau, Amanah mungkin amat takut dipanggil PAN sebab membawa papan dalam bahasa Cina dan kuali dalam bahasa Inggeris.

Menurut Ridhuan, selayaknya parti Amanah disamakan dengan peralatan tersebut.

“Kuali digunakan untuk memasak pelbagai makanan. Ternyata Amanah sedang dipergunakan dan menjadi kuda tunggangan ultra kiasu. Amanah sudah menjadi jurucakap ultra kiasu. Menuduh RUU 355 adalah bill Hadi atau mewakili kata-kata Tuhan,” tambahnya.

Beliau berharap Pas dan Umno berjaya membenamkan Amanah,supaya menjadi papan dan kuali. – Sarawakvoice.com

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: