#TERKINI ~ 18 tembakan dilepaskan bunuh lelaki di lampu isyarat

Anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan ke atas mayat seorang lelaki yang mati ditembak ketika memandu di Danau Kota, Setapak hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 tembakan dilepaskan mengakibatkan seorang lelaki maut serta-merta di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kejadian kira-kira 3.35 petang tadi melibatkan mangsa yang berumur 43 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord.

[ARTIKEL BERKAITAN: Setapak gempar insiden tembak depan lampu isyarat]

Katanya penelitian daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek merupakan empat lelaki yang menaiki dua motosikal.

"Daripada rakaman itu juga mendapati kedua-dua penembak adalah pembonceng kedua-dua motosikal tersebut.

"Siasatan awal di tempat kejadian menjumpai 18 kelongsong peluru jenis 9mm yang dipercayai digunakan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan di sini.

Amar Singh berkata, siasatan lanjut mendapati 12 kesan tembakan pada cermin sebelah kiri dan empat pada cermin kanan kereta.

Mangsa yang terkena 10 tembakan mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta paha meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, polis menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat dan bukti kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa ketika ditemui pemberita di tempat kejadian memberitahu mangsa menetap di Taman Melati, Setapak dan difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan untuk minum bersama anak saudaranya di Setapak Sentral.

"Keluarga mangsa ada datang di tempat kejadian untuk membuat pengecaman awal dan mengesahkan lelaki itu adalah ahli keluarga mereka.

"Polis akan melihat secara keseluruhan mengenai aktiviti dan perniagaannya iaitu pengurup wang," katanya.

Ditanya sama ada kes tembakan itu melibatkan kongsi gelap, Rusdi berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ia melibatkan elemen kongsi gelap.

"Hasil maklumat polis mendapati latar belakang mangsa ada terlibat dengan kegiatan kongsi gelap," katanya yang enggan mengulas lanjut perkara itu.

Rusdi berkata, mangsa mempunyai rekod lampau dan pernah ditahan pada 2014. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: