#IMBASAN 2016 ~ Aksi lucu, pelik, kontroversi Datuk Seri Jamal Sekinchan sepanjang 2016

Jamal mengadakan sidang media di dalam tandas baru-baru ini.

SIAPA tak kenal Datuk Seri Jamal Md Yunos? Dengan nama jolokan ‘Jamal Sekinchan’, pasti ramai yang membayangkan wajah Ketua Gerakan Baju Merah ini.

Nama Jamal Sekinchan bukan lagi nama yang asing dalam kalangan masyarakat kita.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan aksi pelik penuh kontroversi daripada Jamal.

Daripada muncul dengan tuala bersama peralatan mandi di pintu pagar bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hinggalah kepada insiden sidang media yang dilakukan di dalam tandas, pasti ada sahaja berita sensasi mengenai ‘orang kuat Umno’ ini menjadi hiburan rakyat jelata.

21 Disember dahulu, di kaca-kaca televisyen, laman sosial dan portal berita digemparkan dengan cerita Jamal yang hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan memakai tuala mandi.

Difahamkan, tindakan tersebut diambil sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berkaitan isu gangguan bekalan air.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, turut membawa gayung, berus gigi dan alatan mandian lain.

Katanya, beliau ingin menumpang mandi di bilik pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bangunan tersebut.

Tindakannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen di laman sosial.

Belum pun reda isu Jamal dengan tuala, gempar pula negara dengan khabar berita Syarul Ema Rena yang popular dengan jolokan Ratu Naga dimandikan dengan air najis di hadapan rumah Jamal.

Menurut Ratu Naga, tujuannya berkunjung ke rumah Jamal dengan membawa sebotol air adalah untuk memandikan Jamal yang dikatakan sudah tidak mandi hampir lima hari pada waktu itu.

Jiran-jiran Jamal yang melihat situasi itu kemudiannya bertindak 'memandikan' Ratu Naga dengan air longkang dan najis sebelum melumur tepung pada Ratu Naga.

Bukan itu sahaja cerita pelik yang kita dengar dan baca mengenai Jamal, jangan kita lupa dengan sejarah sidang media dalam tandas pertama di Malaysia.

Jamal boleh dikatakan menempa sejarah apabila menjadi yang pertama ‘mengheret’ petugas media untuk mengadakan sidang media di dalam tandas di dalam sebuah tandas di bangunan Umno Selangor di sini, pada awal Oktober lalu.

Sidang media ‘pelik’ itu diadakan bagi menyaksikan Jamal sendiri mencampakkan surat tuntutan permohonan maaf Bersih ke dalam lubang tandas.

Sensasi atau tidak? Biar netizen sahaja yang menentukannya!

Jamal yang dikenali sebagai seorang yang cukup berani ini juga pernah ditumbuk pada mukanya pada 13 November lalu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang, Jamal bersama 150 pengikutnya dikatakan bertembung dengan kumpulan yang memakai baju kuning dipercayai Bersih.

Kekecohan dikatakan berlaku akibat pertembungan dua kumpulan itu sebelum Jamal diserang dan ditumbuk.

Akibat serangan itu, Jamal cedera di muka dan hidungnya berdarah sebelum kekecohan itu dileraikan beberapa anggota polis yang berada di tempat kejadian.

Berani tak berani Jamal ini, beliau juga dilaporkan dengan selamba ‘merasmikan’ semula resortnya, Sekin Fisherman Hotel & Resort yang telah disita oleh pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) pada 22 Disember lalu.

Pada 23 Disember baru-baru ini, beliau nekad memotong pita pelekat dipasang oleh penguat kuasa MDSB dan mengoyak notis arahan penutupan yang ditampal di pintu masuk premis berkenaan.

Kata Jamal, peguamnya akan menghantar surat kepada MDSB untuk menghalang arahan penutupan premis tersebut selain membantah tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam yang bertindak merobohkan sebahagian bilik penginapan.

Dan terbaharu, Jamal juga bertindak memfailkan saman terhadap kerajaan Selangor di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berikutan penutupan resortnya.

Sebelum itu, Jamal sekali lagi mengambil langkah berani dengan menyerbu sebuah pusat mesin permainan judi elektrik di Pekan Sekinchan, 23 Disember lalu.

Serbuan yang dibuat Jamal itu menyebabkan penjaga pusat itu dan beberapa pelanggan mereka bertempiaran lari.

Tindakan itu dipercayai diambil Jamal berikutan rasa tidak puas hati terhadap resortnya yang ditutup pihak berkuasa pada 22 Disember.

Jangan kita lupa dengan satu lagi aksi hebat Jamal yang gila-gila apabila beliau sanggup berhabis wang ringgit menyewa helikopter semata-mata untuk menunjukkan kemewahan seorang pemimpin muda PKR kepada wartawan.

Tambah ‘gila’, beliau juga turut mengadakan sidang media di depan rumah Disneyland itu.

Masih banyak lagi gimik berani yang dilakukan Jamal dalam usahanya menentang pembangkang.

Apa yang pasti, ragam Jamal sebagai salah seorang pemimpin politik telah mewarnai hidup seluruh masyarakat di sepanjang tahun 2016.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: