#ADA-ADA SAJA ~ Saiful Bukhari dakwa 'dirayu' mohon pengampunan diraja terhadap DS Anwar

Saiful Bukhari

SHAH ALAM - Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa didatangi kenalan rapat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta dia memohon pengampunan diraja bagi membebaskan bekas Ketua Pembangkang itu.

Bekas pembantu peribadi Anwar itu berkata, permintaan kenalan rapat Anwar itu dikatakan turut mewakili keluarga Ketua Umum PKR tersebut.

“Saya tidak pasti sama ada ia benar-benar datang dari keluarga Anwar atau sebaliknya. Beliau mohon agar saya, selaku pengadu dalam kes, memohon pengampunan diraja bagi pihak Anwar dari Yang di-Pertuan Agong agar Anwar dibebaskan tanpa mengubah pengakuan dan dakwaan saya.

“Kata beliau, Yang di-Pertuan Agong boleh berikan pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Beliau mohon saya maafkan Anwar,” katanya dalam laman Facebook miliknya.

Menurutnya, kenalan rapat Anwar itu mendakwa Mohd Saiful sebagai pengadu dalam kes liwat II mempunyai locus standi untuk memohon pengampunan itu.

“Katanya Anwar pun telah menjalani hukuman selama dua tahun, mungkin beliau sudah insaf. Jika saya yang mohon pengampunan ini bagi pihak Anwar, bunyinya aneh, tapi impak dan meritnya ada kerana saya selaku pengadu dalam kes tersebut ada locus standi.

“Kata beliau, dalam perundangan Islam, mangsa atau waris boleh memaafkan dan mengampunkan pesalah yang telah dijatuhi hukuman, agar hukuman diringan atau dibebaskan,” katanya.

Mohd Saiful berkata, dia akan memikirkan terlebih dahulu cadangan itu sebelum membuat keputusan.

“Saya ucap terima kasih kepada beliau kerana memberi pencerahan. Saya kata nanti saya fikir-fikirkan dan bincang dengan keluarga terlebih dahulu sebelum saya membuat sebarang keputusan.

“Apa pun di sudut hati saya terdetik juga, sama ada niat beliau benar-benar ikhlas atau sekadar demi melayakkan Anwar bertanding pada PRU nanti.

“ALLAH SWT lebih tahu. Saya berdoa semoga ALLAH SWT memberikan petunjuk, perlindungan dan jalan yang sebaik-baiknya,” katanya.

Mohd Saiful bagaimanapun berkata, dia tidak dapat mendedahkan identiti kenalan rapat Anwar itu.

Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember lalu menolak usaha terakhir Anwar untuk mengetepikan sabitan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke atas beliau kerana meliwat Mohd Saiful Bukhari.

Dengan penghakiman itu, Anwar kekal di Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman penjara lima tahun.

Pada 18 Januari lalu, Anwar berjaya dalam permohonannya untuk memohon mahkmah menyemak semula keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen pengampunannya.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Anwar bersama dua ahli keluarganya untuk merujuk dua persoalan undang-undang berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen pengampunan diraja atas kesalahan meliwat.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: