#BOLASEPAK ~ Pengalaman Minggu Lalu Mantapkan Skuad Hijau Kuning

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menyifatkan barisan pemain skuad hijau kuning telah mendapat dua pengalaman berharga minggu lalu untuk mengharungi Liga Malaysia musim ini yang lebih mencabar.

Pemenang Anugerah jurulatih terbaik itu berkata, pertemuan dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang memberi kejayaan kepada Kedah menjulang Piala Sultan Ahmad Shah adalah ujian terbaik untuk pemainnya selain menentang kelab dari China.

Menurutnya, keputusan kekalahan ketika menentang Hebei China Fortune tidak menjadi keutamaan sebaliknya, Kedah lebih mementingkan pendedahan terhadap pemain.

"Kalah kepada lawan dari China tidak menjadi masalah kerana apa yang penting pemain yang beraksi dapat menilai kemampuan mereka berbanding lawan yang memiliki barisan pemain bertaraf dunia.

"Pengalaman ini dapat 'membuka mata' pemain untuk meningkatkan prestasi dan memantapkan lagi aksi untuk berdepan pasukan lain dalam Liga Super khususnya.

"Oleh itu saya berharap, segala persediaan yang dilalui sebelum ini akan dijadikan iktibar oleh pemain untuk melalui perlawanan kedua iaitu menentang Sarawak di Stadium Darul Aman, pada Jumaat," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, pemain Kedah juga telah diingatkan untuk tidak memandang rendah kemampuan Sarawak kerana skuad tersebut telah melakukan persediaan sebaik mungkin untuk musim ini.

Jelasnya, kesebelasan utama yang diturunkan nanti perlu memberi sepenuh perhatian dan tidak melakukan kesilapan.

"Pemain perlu ingat setiap disiplin yang telah diterapkan dan tidak mengulangi kesilapan yang dapat memberi ruang kepada lawan menghasilkan jaringan.

"Selain itu, apa yang kita dapat lihat, Zac Anderson telah berjaya menyesuaikan diri dan memastikan bahagian pertahanan lebih ampuh dan kita harapkan dia akan bermain dengan lebih baik selepas ini.

"Dengan sokongan padu daripada penyokong setia Kedah, saya harap kita dapat memastikan tiga mata menjadi milik pasukan tuan rumah iaitu Kedah," ujarnya.[mStar]


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: