#LAGENDA BOLASEPAK ~ Matlan Marjan,Lagenda Sabah Yang Dihukum 'Mati'?

Matlan Marjan,nama ini mungkin kurang atau tidak dikenali bagi mereka yang baru mengikuti dunia bola sepak tanah air.

Namun bagi yang sudah lama mengikuti Liga Malaysia sejak zaman Semi Pro,nama Matlan Marjan cukup lagenda dinegara ini sebaris dengan nama-nama besar ketika itu seperti Mubin Mokhtar,Zainal Abidin Hassan,Nizam Adza Yusoff,Afendi Julaihi dan beberapa nama besar tempatan yang lain.

Jika nama ini ditanyakan kepada peminat bolasepak Sabah,nama ini mungkin se-lagenda Maradona yang sinonim dengan bola sepak Argentina. Jasa Matlan Marjan pada kebangkitan bola sepak Sabah sangat dikenang.

Dilahirkan pada 18/10/1968,lagenda Sabah ini memulakan karier bola sepaknya bersama skuad presiden Sabah pada tahun 1987-1988. Setahun selepas itu dia mula menyarung jersi skuad senior Sabah.

Percaya atau tidak,beliau adalah satu-satunya pemain Malaysia yang berjaya memboloskan gawang skuad England! Yang ketika itu diketuai oleh penjaring berbisa England Gary Linekar. 2 gol beliau berjaya dipahat meskipun skuad negara tewas 4-2 pada perlawanan itu (gambar).

Dari segi pencapaian domestik pula,tidak banyak yang dicapai oleh Matlan Marjan,namun seperti yang dikatakan,beliaulah antara pencetus kebangkitan bolasepak Sabah yang digelar The Rhinos.

Gandingan beliau bersama Scott Ollerenshaw mencetuskan kegerunan pada mana-mana pemain pertahanan ketika itu.

Perlawanan Akhir Piala FA 1995,Matlan Marjan antara penyumbang gol yang menewaskan seorang lagi lagenda penjaga gol negara iaitu Muadzar Mohamed membolehkan skuad kendalian Kelly Tham membawa pulang Piala FA merentasi Laut China Selatan.

Berakhir kejuaraan Piala FA 1995,rata-rata peminat bola sepak negara sudah meramal akan kejagohan Sabah pada tahun mendatang. Nama Matlan Marjan disebut-sebut bakal membawa pulang piala keramat rebutan,Piala Malaysia.

Tetapi bukan itu yang berlaku,antara kesilapan membuat keputusan saat karier tengah memuncak,digelapkan dengan wang ringgit. Mungkin juga kelemahan persatuan yang tidak menjaga kebajikan pemain,Matlan Marjan dituduh mengambil rasuah dan mengatur keputusan perlawanan.

Dia bersama 5 rakan dari skuad utama Sabah yang lain akhirnya disabitkan bersalah dengan tuduhan itu. Matlan Marjan menerima hukuman penggantungan seumur hidup oleh FAM dan dilarang terlibat sama sekali dengan bola sepak secara profesional. Lebih perit lagi dia juga dibuang daerah ke Semporna untuk suatu jangka masa yang ditetapkan.

Hukuman ini seolah hukuman mati,membunuh terus karier beliau sebagai pemain bola sepak. Dan nama Matlan Marjan terus tenggelam ditelan masa. Difahamkan beliau masih terlibat dalam dunia bola sepak di Sabah,mungkin sebagai penasihat dan jurulatih kelab tidak profesional.

Adakah hukuman ini berbaloi untuk bola sepak negara? Untuk Matlan Marjan sendiri? Saya sendiri tidak pasti. Yang pastinya kes seperti ini harus dijadikan pengajaran buat semua pemain dan juga pihak pengurusan mana-mana persatuan bola sepak.

Selepas 'kehilangan' Matlan Marjan,bola sepak Sabah cuba untuk melahirkan 'The Next Matlan' seperti Harun Laban,M.Jaya Kasim dan adik beliau sendiri iaitu Zainizam Marjan. Namun kesemuanya gagal memahat nama sehebat Matlan Marjan.

Diatas kertas rasmi,pemain Sabah yang dibanggakan seluruh negara mungkin hanyalah Hasan Sani dan James Wong. Tetapi dihati peminat The Rhinos,nama Matlan Marjan takkan pernah padam dalam sejarah bola sepak Sabah.

Terima Kasih Lagenda Matlan Marjan!

credit

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: