#PLAGIAT ~ ‘Saya tak halalkan, ini jelas salah’ - Ramlee Awang Murshid

Ramlee Awang Murshid

“TERNYATA ciplak menjejaskan jualan novel kami, lebih teruk jika seperti saya yang mengharapkan pendapatan 100 peratus daripada hasil penulisan dan fenomena plagiarisme ibarat menabur pasir dalam periuk nasi saya,” demikian rintihan penulis novel thriller popular tanah air, Ramlee Awang Murshid.

Beliau yang juga bekas wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), kini mengabdi diri sebagai novelis sepenuh masa sering mencatatkan jualan laku keras di toko-toko buku turut mengeluh dengan sikap manusia-manusia tidak bertanggung jawab menciplak karya dan hasil titik peluh orang lain secara percuma.

“Saya tak halalkan, pendapatan saya dan penulis lain terjejas sedangkan selama ini, kami cari rezeki secara halal. Si penciplak sewenang-wenangnya cantas sumber pendapatan kami.

“Macam mana rasanya jadi manusia yang ambil titik peluh orang lain tanpa akad jual beli? Ini jelas salah.

“Agama juga melarang sesiapa mencuri. Jelas hukumnya haram, apakah si penciplak tidak mengetahuinya? Kalau tahu kenapa buat?," soalnya.

Ramlee menegaskan perjuangan penulis tidak akan berhasil tanpa tindakan undang-undang.

“Ditegur mungkin ada yang ikut tapi ramai juga yang tidak peduli. Sebaiknya urusan ini harus melalui mahkamah. Ada orang yang berubah bila dinasihati tapi ada juga hanya akan berubah melalui tindakan undang-undang. Mana satu pilihan anda si penciplak?

“Isu ciplak ini masih baru dalam industri kita sebab itu belum ada laporan polis dibuat, Insya-ALLAH dalam masa terdekat,” ujarnya.

Ramlee turut menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak penerbit bagi menjalankan langkah selanjutnya.

Bagaimanapun menurut beliau lagi, memandangkan isu plagiarisme masih hijau, belum terasa lagi impak kemerosotan pendapatan.

“Tapi saya tetap khuatir ia akan jadi nanah dalam industri penerbitan novel dan kreatif. Plagiarisme masih belum parah tapi lebih baik dicegah, tangani sebaik mungkin.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: