#PRIHATIN ~ Kisah derita seorang ibu

Coretan ziarah rakyat URAJ (Pelangi - siri 1)
#Jejak Fakir

Sejak tiga tahun berkhidmat, sudah ribuan rumah kami bertandang dalam program ziarah rakyat, dan pagi ini untuk sekian kalinya saya coretkan sedikit cerita suka duka rakyat yang boleh kita ambil iktibar bersama.

Seperti pelangi yang pelbagai warna, setiap manusia ada warna kehidupannya tersendiri. Semua nama dan tempat saya rahsiakan, kerana cerita hanya iktibar.

Berulang kali saya ke rumahnya untuk menghantar bantuan, ada empat orang anak yang masih bersekolah. Kali pertama hadir ke rumahnya dua tahun lalu, dia masih belum boleh berjalan, tubuhnya penuh luka kerana kemalangan di tempat kerjanya.

Dua orang anak tinggal bersamanya dan dua lagi bersama bekas suaminya. Dalam keadaan yang sangat kesakitan dia sempat bercerita tentang bagaimana kemalangan boleh berlaku dan tentang kisah kehidupannya. Ditinggalkan suami sejak berkahwin dua kira-kira 6 bulan sebelum kemalangan berlaku.

"Saya ditinggalkan begitu sahaja, terpaksalah saya bekerja untuk cari nafkah, bekas suami tak tahu di mana dah, tak dapat khabar berita, pitih pun tak hantar, dia pun miskin juga," katanya sambil menangis.

Dia semakin sebak. "Sekarang ni tak tau nak kata apa, saya sakit, rumah sewa pun tak mampu bayar, anak-anak nak sekolah, pitih nak beli makanan pun tak cukup," katanya.

Ibu bapanya sudah tiada, adik beradiknya 3 orang sahaja dan semuanya susah.

"Saya adik beradik semuanya tak bersekolah, mak ayah miskin," sambungnya.

"Sekarang ni bila berlaku begini, takde tempat nak mengadu, ngadu ngan Allah swt jer," terkedu juga saya mendengar ceritanya. Saya dulu susah juga tapi saya ada mak yang sihat dan gigih, ada bapa dan ibu saudara yang prihatin, tetapi tidak dia.

Betapa sukarnya dia menjalani kehidupan, terutama selepas kemalangan, dia tidak layak mendapat bantuan JKM dan dari pusat zakat secara tetap kerana kad pengenalan merah walaupun dia tinggal di Malaysia sejak berusia 7 tahun dan semua anak-anaknya warga negara Malaysia.

Kini dia semakin sihat, namun masih belum kuat, tahun lepas dia ke rumah saya di malam hari, kerana mencari bantuan untuk persekolahan anaknya, datang naik motor dibawa anaknya, namun masih nampak kesakitan.

"Tak baik betul lagi Ustaz, masih ada luka yang belum sembuh", kasihan sungguh saya melihatnya.

Kini kesihatannya semakin baik, namun masih sakit lagi, tetapi wajahnya kelihatan ceria, ramai juga yang membantunya, namun bantuan mungkin hanya dapat membantu ringan bebanannya, tapi hati dan jiwanya hanya Allah SWT yang tahu.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana ibu yang cekal ini berperang dengan dukanya.

Namun cerita ini hanya sebelah pihak sahaja, saya tidak kenal suaminya dan tidak adil kita menghukum suaminya. Apa yang diharapkan ialah agar ia dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah.

credit

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: