#PRIHATIN~ Penduduk guna laluan haram akibat terdesak jambatan runtuh tak diganti

Abd Nasir (tengah) bersama penduduk menunjukkan titi utama yang runtuh.

BALING - Penduduk Kampung Teluk Sungai Durian, Mukim Bongor terpaksa menggunakan laluan haram sejak setahun lalu selepas titi digunakan untuk ke kebun runtuh.

Penduduk, Zakaria Jusoh, 60, berkata, masalah itu tidak mendapat perhatian pihak berkuasa menyebabkan penduduk tiada pilihan, selain menggunakan laluan ladang kelapa sawit milik persendirian sejauh hampir dua kilometer.

“Aduan sudah dibuat, tapi tiada sebarang tindakan diambil. Akhirnya, titi yang runtuh sejak 2015 itu terbiar sehingga menjejaskan urusan harian penduduk.

“Disebabkan terdesak, kami terpaksa curi-curi melalui ladang kelapa sawit milik orang lain, sedangkan tiada kebenaran daripada tuan ladang kepada penduduk untuk menggunakan laluan di sini,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, kata Zakaria, mereka bimbang tidak dapat ke kebun selepas ini sekiranya tuan ladang menutup laluan dengan pagar.

Difahamkan, laluan utama itu dilalui kira-kira 70 keluarga untuk ke kebun getah dan dusun buah-buahan sejak sekian lama, sebelum runtuh akibat hakisan sungai.

Menurut Khatib Ismail, 73, jalan ladang itu turut mendedahkan penduduk dengan serangan khinzir.

“Penduduk terdedah dengan khinzir yang turut mencari makan di ladang ini. Kebanyakan yang melalui ladang ini merupakan warga emas. Memang pakcik sedih dengan nasib yang menimpa kami ini,” katanya.

Tambah Awang Daud Awang Besar, 51, masalah tanpa perhatian itu turut mendorong penduduk mengambil tindakan sendiri.

“Penduduk pernah bergotong-royong bina titi sendiri pada 2015 dan 2016 dengan kos RM1,500, tapi gagal apabila titi tersebut tetap runtuh,” katanya.

Sementara itu, Mohd Soffian Nafizan, 30, berkata, selain masalah titi utama runtuh, penduduk turut berhadapan dengan risiko runtuhan titi kedua dalam kebun.

“Dalam kebun penduduk terdapat satu lagi titi yang boleh runtuh bila-bila masa disebabkan hakisan. Sebahagian binaan sudah pun jatuh ke dalam anak sungai, tetapi masih boleh dilalui.

“Sebelum ini ada pasangan suami isteri terjatuh sewaktu melalui titi kedua ini. Harap masalah itu mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Pas Kawasan Baling bersama hampir 20 penduduk meninjau kawasan titi runtuh termasuk titi kedua dalam kebun, semalam.

Setiausaha Pas Kawasan Baling, Abd Nasir Idris berkata, ahli parlimen, Adun dan pejabat daerah dinasihatkan agar tidak mengambil mudah masalah yang menimpa penduduk.

“Pejabat daerah setidaknya perlu menyediakan peruntukan untuk selesaikan masalah ini.

"Adakah penduduk perlu jadi ahli Umno baru masalah ini diselesaikan? Di mana slogan ahli parlimen dan rakyat berpisah tiada? Kerajaan mampu berbelanja mewah untuk beli jet peribadi dan sebagainya, tetapi projek untuk kepentingan rakyat diabaikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi JKKK Teluk Sungai Durian, Nafizan Salleh berkata, sebatang paip terletak bersebelahan titi utama yang runtuh dan membekalkan air sungai kepada penduduk, dikhuatiri terjejas sekiranya masalah itu tidak diatasi segera.

“Bersebelahan titi runtuh itu terdapat saluran paip yang membekalkan air sungai kepada penduduk. Struktur mungkin terjejas dengan hakisan sungai seandainya tiada jalan penyelesaian.

“Saya minta pihak berwajib selesaikan secepat mungkin. Kerjasama semua pihak amat diharapkan,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: