#SENSASI ~ 3,000 dakwa ditipu skim pelaburan Ponzi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kira-kira 3,000 orang yang mendakwa menjadi mangsa penipuan melalui skim pelaburan Ponzi berhimpun di sini hari ini untuk membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil oleh mereka.

Skim itu didakwa dikendalikan seorang bekas personaliti televisyen dan suaminya serta lima yang lain.

Turut hadir, bekas setiausaha agung MIC Datuk R Ramanan.

Bercakap kepada pemberita, Ramanan berkata, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis dengan secepat mungkin.

"Setelah laporan itu dibuat, langkah seterusnya ialah mengambil tindakan undang-udang terhadap pengendalinya. Enam peguam akan membimbing dan mengetuai kami dalam urusan ini," katanya.

Ramanan mendakwa, sehingga kini, 17,000 orang menjadi mangsa skim itu dan melibatkan lebih US$100 juta (RM446 juta).

Katanya lebih banyak individu tampil untuk mendakwa bahawa mereka ditipu melalui skim itu.

Dalam sidang akhbar pada 26 November tahun lepas, yang juga dihadiri Ramanan, bendahari agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari dilaporkan berkata kira-kira 300 orang mendakwa menjadi mangsa skim tersebut yang melibatkan kerugian kira-kira RM2.2 juta.

Beliau mendakwa pasangan suami isteri berkenaan menggunakan nama pemimpin negara untuk mempengaruhi dan meyakinkan mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan tersebut.

Pada hari sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah mengesahkan menerima laporan tentang perkara itu. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: