#TAHNIAH ~ Abang Jo angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak yang baharu

Datuk Amar Abang Johari Tun Openg

KUCHING - Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, 67, hari ini dilantik sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia Rabu lepas.

Timbalan Presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang lengkap berpakaian Baju Melayu hitam, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sarawak keenam di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Astana, kediaman rasmi ketua negeri di sini.

Turut hadir, isteri beliau Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, anggota-anggota Kabinet negeri, Adun dan kakitangan kanan awam.

Abang Johari atau dikenali mesra dengan nama Abang Jo, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Merupakan seorang ahli politik veteran, Abang Johari berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun.

Beliau merupakan Adun bagi kawasan Satok selama sembilan penggal.

Abang Johari yang berkelayakan jurutera, buat pertama kali bertanding bagi kerusi itu, pada 1981.

Beliau mempunyai 10 orang adik beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri ini.

Allahyarham bapanya Tun Abang Haji Openg merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Adenan yang memegang jawatan Ketua Menteri selama hampir tiga tahun, meninggal dunia Rabu lepas kerana komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Kota Samarahan. –Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: #ALFATIHAH ~ Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia]

~SH~

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: