#Trump: Bintang Politik Pop Yang Berbahaya

MINGGU pertama Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) dipenuhi dengan pelbagai arahan eksekutif yang mencelarukan dunia. Itu dalam konteks kesan diplomatik. Trump juga bersifat anti ekonomi global apabila menolak TPPA – Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik yang membabitkan 12 negara termasuk Malaysia.

Alasan Trump mudah: Ia merugikan AS kerana TPPA menjadikan sumber pekerjaan domestik akan terlepas keluar dari AS. Sejak awal berkempen pada 2015, Trump sudah menyerang Apple Inc dengan menyifatkan syarikat itu bukan Made In USA kerana hanya 6 peratus operasinya bertapak di AS.
Selebihnya, Trump mengkritik Apple Inc dengan anggapan ia jenama bukan milik AS kerana entiti itu beroperasi di luar AS dengan komponennya terhasil di Jerman, Jepun, Korea Selatan dan China.

Trump cuba membawa AS kembali ke era mafia. Zaman ketika semua polisi industri AS mesti dikaitkan dengan pengaruh kesatuan sekerja. Apa saja industri atau polisi, kesatuan sekerja yang dikuasai mafia mempunyai pengaruh yang meluas. Ini era tahun enam puluhan di AS dengan gelombang kesatuan sekerja pro mafia sangat berkuasa dalam industrinya.

Trump juga meluluskan arahan eksekutif mengenai pembinaan tembok sempadan AS dan Mexico. Satu dasar yang menghapuskan identiti 250 tahun AS sebagai Tanah Liberty.

Lebih teruk, Trump menyekat semua kemasukkan pelawat dari tujuh negara Islam. Trump menjadikan Iran, Iraq, Somalia, Syria, Libya, Sudan dan Yaman sebagai senarai hitam selama 90 hari.

Trump bintang pop dalam dunia politik. Tujuh hari pertama menjadi Presiden AS pelbagai sensasi dan kejutan dalam pelaksanaan dasar luarnya. AS kini tidak lebih sebagai negara Punk Nazi ultra kulit putih.

Di AS selama ini, idea anti warna kulit atau Klu Klux Klan moden digerakkan fahaman jalanan Punk Neo Nazi. Logo Swastika Nazi mula dihidupkan samseng punk jalanan United Kingdom sebagai bantahan liar kelas jalanan oleh generasi Y di UK terhadap masyarakat pendatang Asia Selatan dan Turki yang dilihat menguasai perniagaan bazar dan kedai-kedai di bandar-bandar utama UK.

Malah, Nazi tinggalan Hitler selepas 1945 ini mula melebarkan sayap baharu sebagai gerakan politik post moden di Belanda dan Norway dengan menjadikan Islam sebagai musuh. Satu tindakan relatif semasa setelah gerakan Nazi anti Yahudi pupus bersama jatuhnya Hitler pada Perang Dunia Kedua.

Punk jalanan atau Skinhead kini boleh berbangga dengan Trump. Dasar perkauman dan anti Islam dalam polisi terbaharu di AS menjadikan agenda Skinhead mendapat pengiktirafan. Sila tonton filem America History X dan filem Pariah. Anda akan nampak, ideologi jalanan Skinhead dan polisi Trump tiada bezanya.

Trump menjadikan sentimen anti Islam selepas Peristiwa 11 September 2001 memasuki frasa baharu. Pembantaian terhadap anti Islam bukan lagi gerakan jenayah atau sentimen. Ia kini polisi dasar luar kepada sebuah negara yang hebat. Percayalah, idea Trump akan mendapat sambutan dan menyemarakkan lagi gerakan anti warna kulit dan anti Islam di Barat.

Walaupun aktivis pro kemanusiaan sudah bangkit menyelar Trump sejak sebelum diisytiharkan secara rasmi sebagai Presiden AS – namun, empat tahun berada di puncak kuasa White House akan menjadikan Trump mampu melaksanakan banyak perkara.

FBI dan CIA tidak lagi penat menguruskan intipan di Moscow dan Havana. Arahnya akan beralih untuk melebarkan polisi Trump untuk melaksanakan lebih banyak agenda perkauman dan Islamofobia.

Cuma kita menantikan tindak balas. Trump barangkali ketika ini lebih banyak menerima serangan aktivis dalaman di AS. Serta sedikit celaan Canselor Jerman, Angela Merkel yang menyifatkan langkah Trump sebagai memalukan.

Sikap Trump hanya akan menjadikan gerakan seperti Daesh kembali popular. Kemarahan umat Islam terhadap sikap Trump akan menjadikan lebih banyak idea ala Daesh akan popular. Pastinya tidak semua muncul dalam gerakan militan, tetapi Trump akan menjadikan idea extrimis Daesh mendapat sokongan popular.

Memang si bintang pop bernama Trump ini sengaja mencari pasal! – MYNEWSHUB.CC

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: