#ASTRONOMI ~ Peluang lihat komet di ruang angkasa Sabtu ini

Peluang lihat komet di ruang angkasa Sabtu ini Kedudukan Komet 45P/Honda–Mrkos–Pajdušáková.

KOTA KINABALU - Para peminat astronomi disarankan agar tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kemunculan komet 45P/Honda-Mrkos-Pajdusakova (HMP) pada Februari ini.

Berada di langit sejak Disember lalu, komet 45P/HMP bakal bersinar terang secara tepatnya pada 11 Februari ini.

Menurut Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin, komet 45P/HMP akan berada di kedudukan paling dekat dengan bumi iaitu 12.4 juta km menyebabkan ianya dapat dilihat dengan jelas.

Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya Dato' Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin.

"Setelah mengelilingi matahari, komet ini akan melintasi bumi sebelum keluar daripada sistem suria selepas mengorbit secara elips dengan tempoh pusingan setiap 5.25tahun.

"Dengan jarak 12.4 juta km paling hampir dengan bumi, peminat astronomi akan dapat melihat cahaya seperti bebola kecil kelam atau 'fuzzball' di langit," katanya.


Imej Komet 45P/Honda–Mrkos–Pajdušáková yang rakam oleh Dr. Fritz Helmut Hemmerich baru-baru ini.

Memperincikan lanjut mengenai perkara itu, Mohd Zambri berkata, untuk melihat dengan lebih jelas komet tersebut, orang ramai yang berminat disarankan menggunakan kelengkapan moden astronomi.

"Ianya menjadi saat terbaik kepada peminat-peminat astronomi untuk mencerap komet tersebut sehingga Mac nanti.

"Pada 11 Februari ini kecerahannya akan mencapai magnitud 6, dan ia dapat dilihat dengan jelas menggunakan binokular atau teleskop," jelasnya.

Walau bagaimanapun, katanya, kenampakan komet tersebut dijangka agak terbatas disebabkan bulan dalam fasa penuh dan kedudukan komet tersebut yang berada agak hampir dengan planet Kejora atau Zurah (Venus).

Tambahnya lagi, kepada orang ramai yang ingin mencerap komet tersebut, mereka boleh menggunakan buruj-buruj Capricornus, Aquilla, Hercules, Corona Borealis, Bootes, Coma Berenices dan Leo sebagai panduan untuk mencari komet tersebut selepas Matahari terbenam.

Sementara itu, Pengenali Balai Cerap Sabah Stargazer, Haris Jeffrey Harun berkata, komet 45P/HMP diklasifikasikan sebagai komet kerdil pertengahan umur dengan saiz nukleusnya antara 0.5 hingga 1.5 km.


Imej menggunakan DSLR oleh Irish Federation of Astronomical Societies pada hujung Disember 2016

“Ianya juga tergolong sebagai ahli komet keluarga Musytari kerana tempoh ia mengorbit Matahari kurang daripada 20 tahun iaitu sekitar 5.25 tahun apabila disahkan pada 1949.

“Analisis orbit menunjukkan bahawa tempoh orbitnya pada tahun 1933 adalah 5.5 tahun dan semasa ia menghampiri planet Musytari pada Ogos 1935 tempoh orbitnya telah menurun kepada 5.3 tahun," katanya.

Komet 45P/HMP ditemui oleh Minoru Honda di Kurashiki, Jepun pada 3 Disember, 1948 semasa aktiviti rutin pencarian komet. Komet tersebut dinamakan bersempena dengan nama beliau serta penemu bersama yang lain iaitu, Antonín Mrkos dari republik Czech dan Ludmila Pajdušáková dari Slovakia.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: