#IMBASAN ~ Gadis Peluk ‘Suami Orang’ Dah Move On

PASTI anda masih ingat lagi dengan kisah seorang gadis Indonesia yang datang memeluk bekas kekasihnya di majlis persandingan lelaki tersebut pada 2014.

Gadis berkenaan, Risna Wati dikatakan tidak dapat menahan rasa sedih dan rindu kepada bekas kekasihnya itu, Rais, sehingga sanggup memeluknya di hadapan khalayak ramai, termasuk isteri Rais sendiri.

Berlaku juga sedikit kekecohan namun ia terkawal, dalam pada itu juga ada yang turut menitiskan air mata menyaksikan adegan sayu berkenaan yang berlaku di depan mata mereka.


Difahamkan, kisah cinta tidak kesampaian kedua pasangan ini menjadi tular sehingga pernah difilemkan ke dalam sebuah drama yang ditayang di negara tersebut.

Peristiwa tersebut sudah tiga tahun berlalu, jadi bagaimanakah kehidupan terkini Risna?

Menerusi media Indonesia, Risna yang kini sudah berusia 24 tahun sudah bekerja sebagai seorang bidan kampung setelah menamatkan pengajiannya dalam kursus kejururawatan (kebidanan) di Kabupaten Bulukumba, Sulawesi Selatan.

Risna turut memuat naik status di laman sosialnya mengatakan yang dia semakin bersyukur dan tidak lagi menoleh ke belakang sejak peristiwa tersebut.

“Kebelakangan ni aku banyak belajar mengenai kehidupan, dan sesungguhnya kesemuanya di dunia ini hanya milik Allah.

“Semoga apa yang hilang dariku semoga dapat digantikan dengan perkara yang baik dengan kehendakMu.

“Ya Allah, ajarkanlah aku agar tidak meminta kembali perkara yang telah hilang dan ajarkanlah padaku untuk percaya bahawa apa yang engkau berikan adalah yang terbaik,” tulisnya menerusi laman Facebook.

Bagaimanapun, dia mengakui biarpun sukar untuk melupakan bekas kekasihnya itu, namun dia bersikap matang dan redha dengan keputusan bekas kekasihnya itu yang tetap tidak mahu menyuntingnya sebagai isteri.

Tambahnya, dia kini sudah berkawan dengan ramai kenalan lelaki namun masih belum menjumpai calon yang sesuai untuk dijadikan suami. – MYNEWSHUB.CC


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: