#PELANCARAN ~ Kangar City Centre(KCC) RM368 Juta Mercu Tanda Baharu Perlis

KANGAR – Kangar City Centre (KCC) bernilai RM368 juta yang akan dibangunkan di Persiaran Jubli Emas, di sini, dalam masa terdekat bakal menjadi mercu tanda baharu negeri ini, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata projek pembangunan mega membabitkan usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Safuan Group itu akan dibangunkan di kawasan seluas 1.58 hektar berhampiran Hotel Putra Regency.

Katanya projek yang dijangka siap pada tahun 2020 itu melibatkan pembinaan tiga blok menara 42 tingkat terdiri daripada hotel lima bintang yang pertama di Perlis, pangsapuri, pusat beli belah, ruang pameran dan tempat letak kereta.

“Projek pembangunan komersial bercampur itu akan dibangunkan dalam dua fasa dan menyediakan 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

“Projek ini bertaraf pegangan bebas dan berimpak tinggi serta diyakini dapat menarik pembeli Bumiputera, bukan Melayu dan warga asing,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek itu di Hotel Putra Regency di sini hari ini.

Azlan berkata harga pangsapuri yang ditawarkan bermula dari RM200,000 seunit dan kemudahan lain yang disediakan termasuklah lot kedai, bilik pameran, kolam renang, gimnasium dan restoran.

Pengerusi Eksekutif Safuan Group, Datuk Seri Matshah Safuan berkata KCC akan meletakkan Kangar dalam peta Malaysia sebagai pusat komersial moden dan terkini setanding dengan bandar maju seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang.

Katanya projek itu merupakan projek pertama Safuan Group di utara. – BERNAMA


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: