#PENAFIAN ~ Penentuan waktu solat bukti bumi sfera

Muka depan Sinar Harian hari ini

PAKAR Fizik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Syed Yusainee Syed Yahya menentang sekeras-kerasnya teori kepercayaan yang mendakwa bumi berbentuk datar.

Beliau mengupas satu hujah yang menangkis pendapat bumi ini mendatar iaitu menerusi ilmu falak.

“Penentuan kedatangan dan kedudukan anak bulan, penetapan waktu solat secara tepat dan automatik dilakukan berdasarkan kiraan bumi berbentuk sfera.

“Itu belum lagi termasuk kiraan peristiwa gerhana bulan dan matahari yang boleh dikira sehingga ketepatan dalam bacaan saat. Apa yang boleh saya katakan ialah, semua yang telah sah dicapai dan dikongsikan adalah mustahil jika pendapat bumi ini datar diterima,” tegasnya.

Menurutnya, baru-baru ini muncul perdebatan di media sosial tentang pendapat yang menyatakan bahawa bumi ini sebenarnya datar bukannya sfera seperti dibaca dalam buku atau yang dipelajari di sekolah dan universiti.

“Mereka membawa teori yang dikemukakan oleh Ptolemy yang menyatakan bumi ini datar dan menjadi pusat alam semesta.

“Teori ini kemudian lebih dipercayai apabila ada nama besar lain yang bersetuju seperti Ibnu Sina. Mereka tidak pula membawa pendapat saintis lain zaman itu setara ilmunya iaitu Al-Khawarizmi yang percaya bahawa bumi ini bulat (sfera),” jelasnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: #PELIK TAPI BENAR ~ Masih ada percaya dunia bukan bulat!


Tambahnya, dalam pencarian ilmu, berbeza pendapat itu perlu diraikan. Pada zaman itu pendapat yang mengatakan bumi itu bulat atau mendatar adalah bersandarkan ilmu yang sah pada ketika itu.

“Perlu diingat bahawa kebanyakan ahli sains pada ketika itu merupakan ahli falsafah. Mereka juga sedang mencari jawapan sama ada alam ini pencipta atau alam ini terjadi secara semulajadi. Mereka memberi pendapat dan pendapat itu dianggap benar sehinggalah ada bukti terbaru yang mampu untuk menangkis pendapat tadi. Itulah yang berlaku kepada ahli astronomi Perancis, Galileo Galelei.

“Pendapat yang telah diterima oleh pihak gereja di cabar oleh bukti pencerapan langit yang dilakukan oleh Galileo. Akhirnya Galileo dihukum dan ceritanya selepas itu kita semua telah tahu,” katanya.

Dr Syed Yusainee berkata, satu perkara yang ramai terlepas pandang bahawa semua saintis yang disebut tadi hidup sebelum zaman satelit.

“Mereka tentu tidak terfikir yang manusia boleh keluar daripada bumi ini. Bermula pada 4 Oktober 1957 dengan pelancaran satelit tiruan pertama Sputnik-1 oleh Soviet Union (Russia sekarang) segala-galanya telah berubah.

“Ini diikuti oleh Yuri Gagarin yang pada 12 Apri 1961 menjadi manusia pertama yang di hantar ke angkasa lepas. Adakah Yuri Gagarin kembali ke bumi dan mengatakan dia nampak bumi seperti terhampar seperti permaidani? Tidak !. Bumi itu bulat seperti bola. Itu adalah bukti yang sepatutnya telah memadamkan pendapat yang bumi itu datar,” tegasnya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku, sebaliknya ada pihak yang bersungguh menegak benang basah.

“Muncul kilasan yang mengatakan itu semua adalah palsu malah mereka membawa pula persaingan Amerika Syarikat dan Soviet Union ketika itu untuk mendarat di bulan sebagai modal.

“Mereka tidak tahu yang semua ahli fizik di pihak Amerika Syarikat dan Soviet Union membuat perkiraan semuanya dengan teori graviti dengan berasaskan bumi ini bulat. Apabila manusia berjaya sampai ke bulan pada 20 Julai 1969 dan merakamkan gambar bumi dari bulan, perkara yang sama juga berlaku. Mereka kata itu adalah rakaman dalam studio.

“Selepas itu manusia perlu lebih jauh, teknologi menghantar manusia ke bulan sudah menjadi teknologi kuno. Manusia menghantar satelit ke tempat lain. Manusia hantar satelit ke planet, asteroid bahkan satelit Voyager 1 telah sah menjadi satelit buatan manusia yang telah keluar dari sistem suria. Semua itu berdasarkan kiraan dengan mengambilkira bumi ini bulat,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: