#PENDAPAT ~ Siasat forex naikkan selera rakyat - A Kadir Jasin

PADA 22 Februari Kabinet telah lantik Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai pengerusi Pasukan Petugas Khas untuk buat siasatan awal ke atas kerugian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) lebih 20 tahun lalu.

Saya hairan sikit pasal apa kerajaan buang masa tubuh badan petugas saja. Kalau kerajaan yakin sangat ada kes dalam hal perniagaan tukaran wang (foreign exchange trading) Bank Negara ini, pasal apa tak terus buat Suruhanjaya Penyiasatan Diraja?

Pasal apa buat rakyat jelata ternanti-nanti dengan menubuhkan badan petugas untuk buat siasatan awal lepas itu baru nak fikir tubuh suruhanjaya diraja atau tidak? Bukankah lebih cepat kalau kerajaan terus tubuh suruhanjaya diraja?

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri kata, syarat rujukan Pasukan Petugas Khas itu adalah jalankan siasatan awal berkaitan kerugian BNM dalam aktiviti spekulasi urus niaga mata wang asing.

Kata kunci di sini adalah 'spekulasi urus niaga mata wang asing'. Maknanya sebelum siasatan awal dijalankan pun, Kabinet sudah yakin bahawa kerugian itu adalah kerana spekulasi urus niaga mata wang asing.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan akan dijalankan secara telus, bebas dan adil. Ahli pasukan yang lain akan diumumkan dalam masa yang singkat.

Dengan penyiasatan terbuka dan telus, rakyat jelata boleh tahu apa yang berlaku lebih 20 tahun lalu masih berlaku hari ini di seluruh dunia.

Perniagaan forex adalah kegiatan biasa bank-bank pusat macam BNM. Semua bank pusat kumpul dan simpan mata wang asing untuk urusan perniagaan negara dan menyokong nilai mata wang negara.

Dari semasa ke semasa mereka akan jual atau beli mata wang asing untuk menstabilkan kadar tukaran mata wang tempatan. Kalau mereka tidak buat macam itu, nilai simpanan mata wang asing mereka mungkin merosot dan kadar tukaran mata wang negara jadi tak menentu.

Ambil contoh Bank Pusat Switzerland, antara bank pusat paling besar, berpengalaman dan kaya di dunia. Tapi pada Julai tahun lepas, bank itu umum kerugian AS$51.79 bilion (kira-kira RM230.5 bilion) apabila nilai simpanan asingnya susut. Nilai simpanan asingnya susut kerana ia tarik balik langkah mengikat mata wang Swiss Franc kepada Euro.

Kalau kita ingat lagi zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, duit kita diikat kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi AS$1. Sekarang nilai duit kita merudum sekitar RM4.45. Maksudnya kalau zaman Dr Mahathir kita bayar RM3.80 untuk beli AS$1, sekarang kita kena bayar RM4.45.

Tapi bukan nilai simpanan asing Bank Pusat Switzerland saja susut. Simpanan asing BNM pun merudum juga. Jadi sebab itulah saya kata siasatan forex ini bagus. Sambil kita siasat apa yang berlaku 20 tahun lalu, kita boleh juga buat kajian sedikit apa sedang terjadi sekarang dengan simpanan asing BNM dan skandal bilion ringgit yang melibatkan 1MDB dan SRC International.

Misalnya, pada 8 Disember lepas BNM mengaku yang rizab asingnya jatuh sebanyak AS$1.9 bilion (kira-kira RM8.4 bilion) daripada AS$98.3 bilion (RM442.35 bilion) kepada AS$96.4 bilion (RM433.8 bilion).

Kerugian lebih RM8 bilion itu berlaku sebab BNM guna rizab untuk sekat kejatuhan kadar tukaran ringgit, tapi tak berjaya.

Kemudian kalau kita tengok tempoh 2015-2016, BNM ada rizab lebih kurang AS$140 bilion (kira-kira RM630 bilion). Tapi sekarang kita ada sekitar AS$96.4 bilion atau kira-kira RM433.8 bilion saja. Ertinya dah jatuh lebih AS$45 bilion atau RM202.5 bilion.

Kita tahu BNM guna sebahagian untuk pertahan kadar tukaran ringgit, tapi tak berjaya. Jadi untuk tujuan apa lagi rizab BNM digunakan sampai ia jatuh dengan begitu banyak? Boleh jadi untuk bayar hutang negara.

Kerugian forex tahun 1990-an adalah kira-kira AS$12 bilion atau kira-kira RM30 bilion pada kadar tukaran masa itu. Tapi masa itu, nilai duit kita tak merudum dan harga barang-barang tak naik melambung. Rakyat jelata tak tahu dan tak rasa.

Hari ini rizab jatuh, nilai ringgit pun jatuh dan harga barang melambung. Bila nilai ringgit jatuh, harga barang-barang import macam beras, gandum, jagung, susu dan daging naik ditambah pula oleh cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Berbalik kepada kejadian tahun 1990-an itu, seingat saya ada tiga orang saja lagi bekas pegawai BNM yang terlibat atau tahu peristiwa itu yang masih hidup, iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Datuk Abdul Murad Khalid dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. Nor Mohamed terlibat langsung sebab dia jaga forex BNM. Murad, kalau tak silap, jaga pematuhan (compliance) dan Zeti penolong gabenor.

Masa itu Dr Mahathir, Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan. Gabenor masa itu, Tan Sri Jaffar Hussein dah lama meninggal dunia. Kita kena ingat walaupun BNM agensi kerajaan, ia bebas daripada kawalan kerajaan.

Kesimpulannya, apabila kerajaan siasat kejadian lebih 20 tahun lalu, rakyat jelata lebih berhak dan berminat untuk tahu apa yang berlaku dengan krisis semasa, khususnya 1MDB dan SRC.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: