#PENIPUAN MAYA ~ Nenek terpedaya 'romance scam', rugi hampir RM30,000

SUBANG JAYA - Gara-gara terpedaya dengan kata-kata seorang rakan maya yang dikenali menerusi laman sosial, seorang nenek berusia 80 tahun dari Subang Mewah dekat sini kerugian hampir RM30,000 ditipu sindiket 'romance scam'.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa yang kesunyian selepas kematian suami sejak setahun lalu mendakwa berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai warga United Kingdom.

Menurutnya, suri rumah itu dan suspek berhubung menerusi laman sosial dan aplikasi WhatsApp sejak Oktober tahun lalu sebelum suspek menyatakan hasrat berkunjung ke negara ini untuk bertemunya.

Bagaimanapun ketika tarikh dijanjikan, suspek tiba-tiba menghubungi mangsa dan memberitahu dia ditahan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa matawang asing berjumlah AS$600,000.

Mangsa bertambah percaya dengan kata-kata suspek selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku kononnya seorang pegawai imigresen.

Lelaki terbabit meminta mangsa membuat pembayaran secara berperingkat untuk melepas kenalan mayanya itu.

Mangsa tidak mengetahui panggilan itu didalangi suspek dengan melakukan penyamaran.

“Ketika panggilan pertama dibuat, pegawai imigresen palsu itu meminta mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,000 bagi melepaskan rakan mayanya. Mangsa menuruti arahan dan memasukkan wang diminta ke dalam satu akaun bank milik seorang wanita.

“Mangsa kemudian memasukkan wang tunai sebanyak RM12,400 selepas menerima panggilan kedua daripada ‘pegawai imigresen yang mendakwa rakannya itu mempunyai masalah dengan pihak berkuasa,” katanya suspek meyakinkan mangsa dia akan membayar kembali wang terbabit.

Beberapa hari selepas itu, mangsa menerima satu lagi panggilan yang memintanya membuat bayaran sebanyak RM8,000 sebagai insurans melepaskan rakan mayanya dari tahanan imigresen.

“Mangsa meminta tempoh untuk buat bayaran tersebut dan merujuk perkara tersebut kepada peguamnya.

“Mangsa akhirnya menyedari ditipu sindiket terbabit selepas memasukkan wang ke dalam akaun bank diminta dan mendapati kenalannya menghilangkan diri serta gagal dihubungi lagi.

Mohammad Azlin berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dan memburu suspek yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: