#PIALA AFC 2017 ~ JDT Cemerlang, Felda United Tewas Di Kota Singa

Muhammad Nazmi meraikan jaringannya bersama S.Kunanlan ketika menentang Beoungket Angkor FC pada perlawanan Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin malam Selasa. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua wakil negara dalam saingan Piala AFC 2017 mengalami nasib berbeza pada aksi pembukaan peringkat kumpulan, malam Selasa.

Juara 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan kempen dengan langkah kanan apabila membenam wakil dari Kemboja, Beoungket Angkor FC 3-0, manakala Felda United tewas 1-2 kepada wakil Singapura, Tampines Rovers FC.

Skuad Harimau Selatan bermula garang di laman sendiri di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, apabila membuka jaringan seawal minit kedua menerusi pemain import dari Argentina, Gabriel Guerra.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu, tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila hantaran S. Kunanlan berjaya disempurnakan Muhammad Nazmi Faiz Mansor untuk bola menerjah gawang juara Liga Kemboja 2016 itu, lapan minit kemudian.

Beraksi di hadapan kira-kira 10,000 penonton, tuan rumah terus menambah derita pasukan pelawat apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-89, hasil tandukan kapten pasukan, Safiq Rahim yang menerima hantaran Gonzalo Cabrera Giordano.

Pada satu lagi aksi dalam kumpulan sama, wakil Filipina, Global FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Magwe FC dari Myanmar menerusi jaringan kapten pasukan, Misagh Bahadoran pada minit ke-39.

Dalam aksi Kumpulan G di Stadium Jalan Besar, Singapura, pemain import dari Korea Selatan, Son Yong Chan meletakkan Tampines Rovers di hadapan pada minit ke-64.

Penyerang kebangsaan Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal, menggandakan jaringan pada minit ke-83, sebelum Skuad 'The Fighters' mengurangkan defisit menerusi Fazrul Hazli Kadri, tiga minit kemudian.

Satu lagi aksi Kumpulan G menyaksikan wakil dari Vietnam, Hanoi FC dan Ceres Negros FC dari Filipina berkongsi satu mata apabila seri 1-1 di Stadium My Dinh.

JDT seterusnya akan ke Yangon untuk berdepan Magwe FC, manakala Felda United akan menerima kunjungan Hanoi FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dalam aksi kedua saingan Piala AFC, 7 Mac ini. - BERNAMA/mStar

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: