#PRIHATIN ~ Terpaksa guna kantung plastik sejak lahir dan seumur hidup

Abdullah Thani (kanan) menunjukkan beg plastik khas yang digunakan anak bongsunya untuk membuang air besar sejak kecil.

BANDAR BAHARU - Usianya baru mencecah 12 tahun namun sudah lima kali terpaksa menjalani pembedahan di bahagian usus besar yang rosak sejak lahir.

Kanak-kanak malang, Mohamad Nizamudin Abdullah juga terpaksa bergantung kepada beg plastik khas seumur hidup untuk membuang najis besar.

Bapanya, Abdullah Thani Abd Karim, 51, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan doktor mengalami keroskan usus besar dan terpaksa menggunakan beg plastik untuk proses pembuangan air besar.

"Anak saya ini sejak umur enam bulan lagi telah kehilangan usus besarnya kerana mengalami kerosakan dan sejak itu juga dia kena menggunakan beg plastik untuk membuang air besar," katanya.

Katanya, beg plastik itu akan dilekatkan kepada satu lubang yang ditebuk di bahagian abdomennya dengan menggunakan gam khas.

"Sejak kecil lepas disahkan usus besar rosak anak saya memang kena guna beg plastik ini, kalau dulu banyak juga kesan tapi sejak umurnya makin meningkat antibodinya makin baik kurang menghadapi masalah kesihatan lagi," katanya.

Menurutnya, Mohamad Nizamudin juga seorang yang aktif dan lasak seperti kanak-kanak sebayanya yang lain.

"Alhamdulillah walaupun keadaan dia begitu namun dia dapat bergerak bebas dan bermain seperti kanak-kanak lain namun tidak boleh terlalu lasak seperti mengangkat benda berat.

"Bab makan pula, Alhamdulillah sejak dua tahun kebelakangan ini dia boleh makan apa saja seperti orang lain,"katanya.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, kos untuk membeli beg plastik khas untuk anaknya yang mencecah ratusan ringgit setiap bulan menggusarkannya.

"Sehari dia kena guna tukar tiga hingga empat kali tidak boleh biarkan najisnya lama-lama takut ada jangkitan kuman.

"Saya beli yang murah pun sehelai harganya RM8 bayangkan sebulan berapa banyak perlu dibelanjakan selain kos ulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.

"Kalau nak harap duit bantuan zakat RM600 dan pendapatan saya memang tidak cukup, kadang-kadang terpaksa minta pinjam pada rakan dan keluarga," katanya.

Orang ramai yang prihatin dan ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Abdullah Thani di talian 012-462 8324.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: