#PRIHATIN ~ Tiga anak hidap penyakit asma kronik

Wan Salmi bersama tiga anaknya yang menghidap asma kronik memerlukan bantuan orang ramai bagi pembelian vaksin.

PETALING JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu gambaran keadaan sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah pangsapuri di Taman Desaria di sini apabila tiga daripada lima anaknya menghidap penyakit asma kronik.

Difahamkan, hospital kini menjadi rumah kedua buat tiga anaknya yang silih berganti mendapatkan rawatan perubatan akibat penyakit dihidapi.

Memilukan apabila ketiga-tiga beradik berusia antara lapan bulan hingga tiga tahun itu pernah ditahan serentak di wad kerana menghadapi masalah pernafasan dan jangkitan paru-paru.


Lebih pilu apabila keluarga berkenaan tidak dapat membeli keperluan ubat-ubatan dan vaksin seperti disaran doktor kerana tidak berkemampuan.

Ibu kanak-kanak itu, Wan Salmi Suhana Wan Majid, 34, berkata, kelima-lima anaknya dilahirkan tidak cukup bulan namun hanya tiga daripadanya disahkan menghidap asma ketika berusia antara dua bulan hingga setahun.

Sejak itu katanya, dia kerap berulang-alik ke hospital membawa anaknya mendapatkan rawatan susulan.

“Paling serius keadaan anak bongsu saya yang berusia lapan bulan, sejak dilahirkan dia sudah 10 kali ditahan di wad mendapatkan rawatan.

“Sekarang doktor sarankan ketiga-tiga anak saya, Akifa Naila,3; Aqil Iman,2 dan Danish Iman, disuntik vaksin namun saya dan suami masih belum mampu membelinya kerana tidak cukup wang,”katanya.

Wan Salmi berkata, kos perubatan dianggarkan sebanyak RM3,000 bagi membolehkan ketiga-tiga anaknya mendapatkan empat dos suntikan vaksin dalam tempoh empat bulan.

Pendapatan suami sebanyak RM1,600 sebulan bekerja sebagai penghantar barang tidak mencukupi untuk membeli ubat tersebut ditambah perlu menanggung dua anak lain yang masih bersekolah.

Katanya, dia ada menerima bantuan hari raya, bantuan pendidikan dan bantuan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Suami memang disenaraikan sebagai asnaf, saya rasa lega juga apabila LZS bantu bayarkan bil hospital namun ubat dan vaksin memerlukan kos sendiri kerana permohonannya mungkin mengambil masa.

“Saya dah jual beberapa barang perabot dalam rumah, tapi jumlah wang dikumpul masih tak cukup, saya bimbang keadaan kesihatan anak saya kerana jika tak ambil vaksin mungkin akan merebak ke paru-parunya pula,”katanya.

Wan Salmi berkata, kos bertambah apabila dia terpaksa menghantar anak ke hospital menaiki teksi kerana suami bekerja dari jam 6 pagi hingga 11 malam.

Katanya, sekiranya suami mengambil cuti gaji akan ditolak sebanyak RM150 sehari.

Pernah katanya gaji suaminya tidak tinggal sesen pun apabila ketiga-tiga anaknya ditahan di wad dan suaminya mengambil cuti selama 18 hari untuk membantu menjaga anak-anak di hospital.

“ Sekarang ni keadaan anak saya agak kronik, nafas mereka laju terutama yang bongsu, saya bimbang keadaan kesihatan mereka, anak keempat pula mengalami masalah pergerakan apabila kakinya tidak sempurna.

“Saya harap ada yang dapat bantu walaupun dengan sumbangan RM1 untuk ringankan beban kami sekeluarga, semoga ALLAH balas jasa anda semua kerana membantu anak-anak saya,”katanya.

Sehubungan itu, mereka yang bermurah hati membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun Maybank milik suami Wan Salmi, Mohd Irwan Amir Hashim 114179467056.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: