#RUU355 ~ H355 capai objektif, momentum perlu diteruskan

Puluhan ribu turut serta dalam Himpunan 355 di ibu negara, semalam. - Sumber foto Facebook Himpunan 355.

SHAH ALAM – Himpunan 355 (H355) yang berakhir malam tadi mencapai objektifnya apabila agenda untuk memartabat Islam dan syariatnya dapat disampaikan dalam keadaan aman.

Pengarah himpunan itu, Nasrudin Hassan berkata, himpunan semalam diharap dapat diteruskan momentumnya sehingga pindaan terhadap RUU Akta 355 dilulus Dewan Rakyat.

“Ia menjadi tanggungjawab kita bersama, bukan sahaja umat Islam malah rakan-rakan bukan Islam juga.

“Justeru Islam menjanjikan keadilan dan rahmat untuk semua. Himpunan semalam menjadi isyarat sangat jelas bahawa telah sampai masanya Islam dikembalikan ke tampuknya yang tinggi mengatasi ideologi yang dicipta oleh manusia untuk memulihkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, himpunan semalam juga membuktikan rakyat mahu Islam ditegakkan di bumi tercinta ini melalui pemerkasaan syariah untuk memulihkan keamanan negara.

“Tiada siapa lagi yang boleh mempersenda dan memperlekehkan Islam. Justeru Islam adalah agama yang membawa keadilan sejagat dan kesejahteraan ummah.

“Menyaksikan ikrar para pejuangnya bersatu di atas kalimah yang sama,” katanya.

Menurut Nasrudin lagi, dengan kehadiran masyarakat Islam berbilang kaum serta penglibatan parti politik, NGO, individu, semuanya bersatu hati dan menyepakati 'Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera'.

“Dengan segala pengorbanan dari semua pihak yang mahu melihat Islam tegak di bumi tercinta ini, Jawatankuasa Penganjur H355 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan H355 sama ada secara langsung atau tidak.

“Ia menjadi satu detik sejarah bernilai tinggi bagi menyaksikan kebangkitan umat Islam dari pelbagai latar belakang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dengan kehadiran melebihi jangkaan asal, penghargaan diberikan kepada para menteri yang hadir, mufti, pemimpin politik, pemidato, NGO, dermawan dan juga peserta yang berhimpun.

“Terima kasih juga kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia atas kebenaran dan kerjasama yang diberikan kepada H355.

“H355 turut diperhebat dengan pengorbanan anggota Jabatan Amal Malaysia yang bertugas penuh dedikasi dan para Sukarelawan yang membantu,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: