#TOP 40 ~ Robert Kuok Kekalkan Status Rakyat Malaysia Terkaya 12 Tahun Berturut-Turut

BEKAS ‘Raja Gula’, Robert Kuok Hock Nien terus mengekalkan kedudukan di tempat teratas sebagai individu terkaya di Malaysia dengan aset bernilai RM36.7 bilion.

Kuok, 94, yang menjalankan perniagaan termasuk minyak sawit, gula, hartanah dan perhotelan, terus mengungguli kedudukan teratas bagi tahun ke-12 berturut-turut.

Hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong itu mempunyai kepentingan di dalam syarikat pengilang sawit, Wilmar dan rangkaian perhotelan Shangri-La Asia menerusi Kuok Group.

Tempat kedua dikuasai oleh ‘orang kuat’ syarikat konglomerat hiburan dan perjudian Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay dengan nilai kekayaan berjumlah RM22 bilion manakala tempat ketiga pula jatuh kepada pengasas Public Bank, Tan Sri Teh Hong dengan nilai kekayaan sebanyak RM20.3 bilion.

Kaji selidik tersebut dilakukan oleh sebuah majalah tempatan, Malaysian Business berdasarkan kepada kajian 40 individu terkaya dalam negara. Sebagaimana tahun sebelumnya, ia dinilai berdasarkan kepada pegangan mereka dalam syarikat tersenarai.


Kajian selidik itu turut mendedahkan nilai kekayaan keseluruhan invididu setakat Disember 2016 berjumlah RM235.6 bilion berbanding RM222.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu mewakili kenaikan sebanyak 5.7 peratus.

Taikun telekomunikasi, T. Ananda Krishnan pula berada di kedudukan keempat terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak RM19.9 bilion.

Berada di kedudukan kelima terkaya adalah Tan Sri Datuk Lee Shin Cheng dari IOI Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM19 bilion, manakala tempat keenam diisi oleh Tan Sri Lau Cho Kun, pemegang saham syarikat hartanah dan perladangan Hap Seng Consolidated. dengan nilai kekayaan RM16.4 bilion.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group pada kedudukan ketujuh dengan jumlah kekayaan sebanyak RM13.5 bilion, disusuli Tan Sri Yeoh Tiong Lay dari YTL Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.2 bilion.

Tempat kesembilan menjadi milik Tan Sri G. Gnanalingam, pengasas syarikat pelabuhan di Pelabuhan Klang, Westports Holdings dengan nilai kekayaan sebanyak RM6.6 bilion.

Usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki tempat kesepuluh dengan nilai kekayaan sebanyak RM4.9 bilion sekali gus terus kekal sebagai Melayu terkaya di Malaysia.

Tiga lagi usahawan bumiputera yang berjaya menempatkan diri dalam senarai individu terkaya di Malaysia ialah Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim yang mengisi kedudukan ke-22 dengan nilai kekayaan RM2.4 bilion.

Tan Sri Shahril Shamsuddin dari Sapura Kencana Petroleum pada kedudukan ke ke-29 dengan nilai kekayaan sebanyak RM1.76 bilion dan bersama pemegang saham utama dalam syarikat itu ialah anak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mokhzani Mahathir pada kedudukan ke-36 dengan kekayaan RM1.07 bilion. – MYNEWSHUB.CC

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: