#TULAR ~Insiden yang berlaku adalah kes kesalahan trafik, bukan kes culik - Polis

GAMBAR yang tular di media sosial

Johor Bahru: Polis menafikan berlakunya kes penculikan kanak-kanak di pekan Ulu Tiram di sini, hari ini dan meminta orang ramai menghentikan sebarang penyebaran berita tidak benar tentang kejadian polis melepaskan tembakan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian yang sebenarnya berlaku apabila anggota polis trafik yang sedang membuat rondaan di kawasan Kilometer 17 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi dekat Ulu Tiram, kira-kira 11 pagi tadi terserempak sebuah Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun sambil menggunakan telefon bimbit.


Beliau berkata, pemandu kereta itu diarahkan berhenti oleh anggota polis trafik yang menunggang motosikal dan dia pada mulanya memberikan kerjasama.

Bagaimanapun, katanya, belum sempat anggota polis berkenaan turun daripada motosikal, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut laju kenderaannya.

"Anggota polis trafik kemudian bertindak mengejar kereta terbabit yang dipandu laju secara melulu dan berbahaya bertujuan melarikan diri daripada pemeriksaan.

"Setibanya di Lorong Bunga Raya, pekan Ulu Tiram di sini, suspek beberapa kali bertindak menghimpit motosikal ditunggang anggota polis dan dia turut melanggar beberapa kereta orang awam yang diparkir di jalan berkenaan akibat laluan yang sempit.

"Apabila anggota polis menghampiri kereta lelaki berkenaan dari arah belakang, dia bertindak mengundurkan kenderaannya dengan laju dan melulu ke arah anggota polis terbabit," katanya.

Jokhiri berkata, menyedari keselamatan diri dalam bahaya, anggota polis berkenaan bertindak terjun dari motosikalnya untuk menyelamatkan diri daripada dirempuh dan pada masa sama melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta suspek.

Katanya, suspek berterusan cuba melarikan diri dengan mengubah haluan dan melanggar beberapa lagi kereta orang awam sebelum akhirnya dia terbabas ke dalam longkang berhampiran.

"Apabila dapat ditahan, pemeriksaan lanjut dibuat dalam kenderaan suspek mendapati terdapat dua orang penumpang iaitu anak lelaki suspek berusia tiga tahun serta teman wanitanya berusia 37 tahun.

"Suspek yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura ini didapati positif dadah dan mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dan dadah," katanya.

Menurut Jokhiri, siasatan awal mendapati suspek bertindak melarikan diri kerana lesen memandunya tamat tempoh.

Katanya, suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.[myMetro]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: